
Beliau merujuk kepada jumlah ramai pelajar kolej dan universiti swasta perlu diliputi, sambil menyatakan ia terlalu besar untuk semua dimasukkan.
“Jadi, bukannya kita (kerajaan) tak nak (masukkan pelajar IPTS)…tapi kita ada kekangan dari segi kewangan.
“Satu orang RM400, jumlahnya bukan kecil. Jadi, 100,000 orang mengambil RM40 juta,” kata Loke di Dewan Rakyat.
Menteri berkata, kerajaan mempunyai beberapa inisiatif bertujuan membantu golongan memerlukan.
“Namun begitu, kita tetap akan mencari jalan untuk melihat bagaimana dapat diperluaskan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan di peringkat IPTS,” katanya.
Loke berkata demikian menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu), yang bertanya sama ada kementerian merancang meluaskan inisiatif subsidi itu kepada pelajar kolej swasta serta penjawat awam yang berulang-alik dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
FLYSiswa adalah program subsidi tiket penerbangan kepada pelajar universiti awam, politeknik, kolej komuniti, pusat matrikulasi, dan institut pendidikan guru bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Labuan.
Secara berasingan, Loke berkata kementeriannya menyambut baik cadangan Vivian Wong (PH-Sandakan) bahawa syarikat penerbangan diwajib mendedahkan kepada pelanggan jumlah kos subsidi penerbangan diperoleh.
” (Kita) akan berbincang dengan pihak syarikat penerbangan bagi mencari mekanisme terbaik untuk memaklumkan kepada penumpang berkenaan jumlah subsidi tiket penerbangan yang telahpun memanfaatkan mereka,” katanya.