
Bercakap kepada FMT, bekas Ahli Parlimen Alor Gajah itu berkata beliau enggan membebankan parti dan kepimpinan dengan sebarang persepsi atau kritikan.
“Saya dianggap penyokong kuat Muhyiddin dan kalau saya berada dalam Lembaga Rayuan, soal berkecuali mungkin kurang jelas.
“Kalau boleh biarlah ahli Lembaga Rayuan bukan daripada kalangan yang mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan. Jadi seeloknya saya tidak menerima pelantikan itu,” katanya.
Bekas menteri persekutuan itu turut mengesahkan beliau telah menghantar surat menolak jawatan itu kepada Muhyiddin.
Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali mengumumkan Redzuan antara ahli Lembaga Rayuan parti yang diketuai bekas speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun.
Ahli lain terdiri daripada bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin; bekas menteri pembangunan luar bandar, Abdul Latiff Ahmad; dan Fahimee Ismail.
Minggu lalu, media melaporkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang kini digantung keahlian selama satu penggal, mempersoalkan kelewatan pelantikan ahli Lembaga Rayuan tersebut.
Beliau mendakwa beberapa kes pemecatan dan penggantungan ahli terbiar tanpa penyelesaian akibat kelewatan itu.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, ahli yang terkesan akan terus berada dalam ketidakpastian selagi kuorum tiga orang ahli lembaga belum dipenuhi.
Pada 15 Okt lalu, Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan penggantungan keahlian Wan Ahmad Fayhsal dan pemecatan Wan Saiful Wan Jan atas kesalahan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Empat lagi ahli turut dipecat iaitu Mohd Azrudin Md Idris (Bahagian Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).