
Sambil menyifatkan penggantungan itu ‘berunsur politik’, Tunku Ismail dalam hantaran di Instagram berkata Artikel 22 Kod Disiplin Fifa hanya terpakai kepada individu memalsukan atau menggunakan dokumen palsu.
Namun menurut baginda, perkara itu tidak berlaku dalam kes pemain terbabit.
“Fifa terus menghukum pemain dengan salah menggunakan undang-undang… tiada satu pun (peruntukan di bawah Artikel 22) terpakai kepada pemain,” kata Tunku Ismail.
Tunku Mahkota Johor berazam untuk terus menyokong perjuangan pemain ‘hingga ke akhir, tanpa mengira risiko’.
Bulan lalu, Fifa menjatuhkan hukuman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain naturalisasi selepas mendapati dokumen yang dihantar bagi mengesahkan kelayakan mereka untuk beraksi dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun adalah palsu.
Siasatan Fifa mendapati dokumen berkenaan menyatakan setiap pemain mempunyai datuk atau nenek lahir di Malaysia, sedangkan mereka sebenarnya berasal dari Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.
Pemain terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
FAM didenda 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta) manakala setiap pemain dikenakan denda 2,000 franc Swiss (RM10,560) dan digantung 12 bulan.
Semalam, Fifa menolak rayuan FAM dan mengekalkan semua hukuman itu.
Pemangku Presiden FAM Yusoff Mahadi berkata pihaknya akan menulis kepada Fifa untuk mendapatkan alasan penuh keputusan itu sebelum membawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).