Lebih 13 juta nikmati manfaat BUDI95 setakat 31 Okt

Lebih 13 juta nikmati manfaat BUDI95 setakat 31 Okt

Pelaksanaan BUDI95 pada bulan pertama berjalan lancar dengan sistem beroperasi baik, tiada kerumitan dan pengguna tidak beratur panjang di stesen minyak.

budi95 mykad
Kerajaan akan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan untuk memastikan pelaksanaan sistem RON95 dilaksanakan lebih menyeluruh, inklusif dan berkesan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seramai lebih 13.1 juta daripada 16.5 juta rakyat Malaysia, iaitu hampir 80% menerima manfaat daripada pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95), dengan nilai jualan lebih RM2.66 bilion atau 1.33 bilion liter setakat 31 Okt.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata pelaksanaan BUDI95 pada bulan pertama berjalan lancar dengan sistem beroperasi secara baik, tiada kerumitan dan pengguna tidak beratur panjang di stesen minyak.

“Kerajaan akan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan untuk memastikan pelaksanaan sistem RON95 dilaksanakan dengan lebih menyeluruh, inklusif dan berkesan.

“Sebagai contoh, kerajaan telah menambah golongan pengguna bot sungai dalam pangkalan data rakyat yang layak untuk subsidi RON95, malah pemandu e-hailing diberi hak kelayakan tambahan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Lim menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai status pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dan langkah kerajaan memastikan hanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana benar-benar menikmati manfaat tersebut.

Beliau berkata, langkah itu penting untuk memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima manfaat subsidi, selain mengekalkan matlamat utama penyasaran, iaitu menyalurkan bantuan secara lebih tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.