Sentimen tempatan lahir kerana rekod pentadbiran semasa, kata pemimpin PGRS

Sentimen tempatan lahir kerana rekod pentadbiran semasa, kata pemimpin PGRS

Masiung Banah berkata keyakinan pengundi terhadap parti tempatan meningkat kerana kepimpinan stabil, berhemah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah.

Masiung Banah nafi wujud usaha menakut-nakutkan rakyat dengan meniup sentimen parti tempatan seperti didakwa Annuar Musa.
PETALING JAYA:
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Masiung Banah menolak dakwaan wujud usaha menakut-nakutkan rakyat dengan meniup sentimen parti tempatan menjelang PRN negeri itu pada 29 Nov depan.

Masiung berkata dakwaan itu tidak tepat kerana rekod pentadbiran semasa menjadi faktor utama keyakinan pengundi, sekali gus membangkitkan sentimen yang cenderung kepada parti tempatan.

Menurutnya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji Noor memperlihatkan kepimpinan yang stabil dan berhemah, termasuk keupayaan menjalin hubungan baik dengan kerajaan persekutuan demi kepentingan rakyat Sabah.

“Contohnya, Sabah berjaya mendapatkan pemberian khas sehingga RM600 juta daripada kerajaan pusat. Ini bukan perkara kecil dan ia hasil pendekatan matang, bukan retorik,” katanya kepada FMT.

Penyandang DUN Kuamut itu mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sabah, Annuar Musa, yang mendakwa ada pihak cuba memainkan sentimen menolak parti Semenanjung untuk meraih sokongan pada PRN akan datang.

Mengulas lanjut, Masiung berkata apa yang berlaku ketika ini adalah sentimen sebenar yang dirasakan rakyat Sabah berdasarkan pengalaman mereka, termasuk dalam soal tadbir urus dan kestabilan politik negeri.

“Sentimen ini bukan dicipta oleh mana-mana parti. Ini suara rakyat Sabah sendiri yang semakin yakin kepada kepimpinan parti-parti tempatan yang terbukti dapat mentadbir dengan baik,” katanya.

Masiung menambah, rakyat Sabah kini lebih menilai hasil kerja dan keupayaan menyelesaikan isu lapangan seperti pembangunan luar bandar, peluang ekonomi serta penyelesaian isu tanah, bukan sekadar slogan.

“Sabah sudah melalui banyak episod politik tidak menentu. Jadi, rakyat semakin jelas apa yang mereka mahu – kestabilan, integriti dan pentadbiran yang berkesan. Dan setakat ini, mereka melihat itu pada GRS,” katanya.

Beliau berkata PGRS akan terus memainkan peranan memperkukuh blok politik tempatan dalam gabungan, selain memastikan hubungan baik dengan Putrajaya diteruskan demi manfaat jangka panjang kepada negeri.

“Kami tidak memusuhi sesiapa. Kita mahu kerjasama, tetapi keutamaan sentiasa Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.