Kerjasama bangun loji REE dari sumber IAC

Kerjasama bangun loji REE dari sumber IAC

Kemudahan itu dirancang dibangunkan di UTP dengan sokongan BRIN serta penglibatan institusi penyelidikan tempatan lain.

(Dari kiri) Wakil UTP Syahrir Ridha, Nik Abdul Mubin Nik Mahmood (Greensnow Consolidated Berhad), Maman Kartaman Ajiriyanti (PRTBNLR) dan Syaiful Bakhri (BRIN) pada majlis memeterai kerjasama pembangunan loji bagi memproses REE.
PETALING JAYA:
Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) akan bekerjasama untuk membangunkan loji bagi memproses unsur nadir bumi (REE) daripada sumber ion adsorption clay (IAC).

Kerjasama itu dimeterai di Pameran Penyelidikan dan Inovasi Indonesia (InaRI Expo) 2025, Jakarta membabitkan Pusat Riset Teknologi Bahan Nuklir dan Limbah Radioaktif (PRTBNLR), agensi di bawah BRIN dengan Greensnow yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Ketua BRIN Syaiful Bakhri berkata projek itu menandakan komitmen dua pihak untuk berkongsi kepakaran dalam bidang penyelidikan tenaga nuklear dan mineral nadir bumi.

“BRIN telah menguasai teknologi pemisahan uranium, thorium dan logam tanah jarang.

“Melalui kolaborasi ini, kami ingin mengimplementasikan hasil penyelidikan lebih jauh dan mendorong penghiliran teknologi bersama Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Loji perintis itu dirancang dibangunkan di UTP dengan sokongan BRIN serta penglibatan institusi penyelidikan tempatan lain.

Syarikat tempatan Greensnow Sdn Bhd yang sebelum ini terlibat dalam projek penyelidikan bersama UTP dan BRIN, akan bertindak sebagai pemangkin teknikal dalam pelaksanaan awal projek.

“Loji perintis dibangunkan di UTP kelak menjadi sambungan kepada projek penyelidikan bersama terdahulu dengan BRIN.

“Namun demikian pembabitan sektor swasta hanya dilihat sebagai pelengkap kepada inisiatif kerajaan dengan kerajaan (G2G) yang lebih besar,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Nik Abdul Mubin Nik Mahmood.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.