
Beliau berkata, Washington peka dengan hasrat Malaysia memperluaskan peluang perdagangan dan pelaburan di peringkat global.
Bagaimanapun, beliau menekankan kemakmuran ekonomi jangka panjang Malaysia masih bergantung kepada integrasi Malaysia dalam rantaian bekalan negara Barat seperti hubungan diperkukuh melalui pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara AS dan Malaysia baru-baru ini.
“AS menghargai pandangan Malaysia mengenai dasar luarnya dan kami mengakui Malaysia mempunyai hak kedaulatan untuk melakukan aspek terbaik untuk kepentingannya, dan kami memahami perkara yang mendorong minat terhadap BRICS.
“Pada masa sama, Presiden AS (Donald Trump) telah menyatakan dengan jelas beberapa isu tidak boleh dikompromi dan kesan yang mungkin berlaku sekiranya tidak dipatuhi,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.
BRICS adalah kumpulan terdiri daripada 11 negara: Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Ethiopia, Indonesia dan Iran.
Kagan berkata, walaupun BRICS mungkin menawarkan beberapa manfaat ekonomi terhad kepada Malaysia dalam keadaan tertentu, ia tidak patut dilihat bertentangan dengan kerjasama ekonomi negara semakin mendalam dengan AS.
“Saya tidak melihatnya sebagai zero-sum (satu pihak untung, pihak lain rugi). Malaysia boleh mempertimbangkan kemungkinan terdapat manfaat ekonomi dalam beberapa keadaan apabila terlibat dalam BRICS dan pada masa sama, mengukuhkan lagi hubungan ekonomi sedia mantap dengan AS.”
Menurutnya, “integrasi mendalam Malaysia dalam rantaian bekalan Barat” terutama dalam sektor seperti semikonduktor, teknologi hijau dan pembuatan termaju penting kepada daya tahan ekonomi serta daya saing global negara ini.
“Integrasi ini diperkukuhkan dengan ART,” katanya merujuk perjanjian perdagangan dimeterai semasa lawatan rasmi Trump ke Malaysia minggu lalu.
Tegasnya, AS kekal komited memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala dengan Malaysia dan memastikan keyakinan pelabur berterusan.
“Presiden Trump gembira semasa berada di Malaysia.
“Beliau gembira kerana berpeluang melihat sendiri Malaysia dan dengan hubungan yang terjalin dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kita dapat bekerjasama dengan baik.”