
Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang baru dipecat dari parti itu berkata, ‘PN berpecah dan Bersatu kalah’ jika masih bertegas menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.
“Ini bukan pergaduhan personal, ini pergaduhan profesional. Jadi pertelagahannya dari segi politik semata-mata tidak menghilangkan penghormatan kepada sesiapa. Jadi dalam keadaan itu, kita kekalkan penghormatan kita tapi kita kena terima hakikat.
“Kalau nak menang dan kalau PN nak kuat, Muhyiddin tidak boleh berada di situ,” katanya yang dipetik dalam satu audio siar terbitan KiniTV.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang digantung keahlian selama satu penggal oleh Bersatu, pula berkata ‘usul cuai’ menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri menyebabkan hubungan dengan PAS renggang.
Katanya, beliau dan Wan Saiful telah berusaha keras untuk menghalang usul itu pada konvensyen parti kerana sedar ia akan mencetuskan konflik dalam gabungan.
“Jadi kalau Muhyiddin, (setiausaha agung) Azmin Ali dan (naib presiden) Faizal Azumu tak faham, maknanya mereka memang gagal memimpin PN.
“Jadi apa yang berlaku pada hari ini memang hubungan yang dahulunya lebih baik sedang dalam keadaan yang tidak baik,” katanya.
Wan Saiful berkata, dinamik semasa menunjukkan PAS kini menetapkan hala tuju PN, manakala Wan Fayhsal pula berpendapat Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin lebih layak memimpin PN kerana mendapat sokongan daripada PAS.
Wan Fayhsal berkata, kemungkinan besar PAS memilih Hamzah — yang ketika itu merupakan setiausaha agung Bersatu — sebagai ketua pembangkang selepas PRU15 kerana pengalamannya dalam Jemaah Menteri dan hubungan baiknya dengan Ahli Parlimen lain.
“Kalau Hamzah yang menjadi presiden Bersatu dan mungkin pengerusi PN, saya yakin perkara ini dapat diperbaiki dengan amat-amat baik.
“Hamzah adalah pilihan PAS sebagai ketua pembangkang. Jadi saya tak nampak Bersatu dan PN akan terkebelakang dengan Hamzah diangkat menjadi pemimpin parti,” katanya.