
Shamsul Iskandar Akin berkata Ewon selaku ketua PH Sabah harus menampilkan barisan yang bersatu menjelang PRN17.
Beliau menggesa Ewon membincangkan cadangannya dengan komponen PH yang lain sebelum membuat keputusan muktamad mengenai perkara itu.
“Ewon, selaku pengerusi PH Sabah, akan sedar keperluan membuat keputusan yang munasabah,” kata Shamsul kepada FMT dalam temu bual eksklusif.
“Beliau wajar membincangkan (cadangan itu) dengan semua rakan kongsi lain dalam PH Sabah, kerana kita tahu perpaduan paling utama apabila menghadapi pilihan raya.”
“Jika Upko memutuskan bahawa mereka tidak mahu menggunakan lambang PH, maka kita perlu tangani kerana ia menimbulkan tanggapan DAP atau PKR juga akan guna lambang masing-masing,” kata Shamsul.
Ewon sebelum ini mencadangkan agar Upko bertanding menggunakan lambang sendiri dalam PRN untuk menekankan ‘semangat Sabah’.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu masih dalam perbincangan, dan majlis presiden PH belum buat keputusan.
Upko meninggalkan Barisan Nasional pada 2018 untuk membentuk kerajaan Sabah bersama Warisan dan PH.
Semasa PRN 2020, Upko sebahagian daripada perikatan dengan Warisan dan PH tetapi bertanding menggunakan atas lambang sendiri. PKR juga bertanding menggunakan lambang sendiri, manakala DAP dan Amanah menggunakan lambang Warisan.
Selepas menyertai PH pada 2021, Upko bertanding bawah panji gabungan semasa PRU tahun berikutnya.
Shamsul berkata masih ada masa dan ruang untuk rundingan, dan untuk kepimpinan pusat PH mendapatkan pemahaman yang lebih jelas tentang dinamik di sebalik cadangan Upko.
“Kita masih ada beberapa minggu lagi sehingga hari penamaan calon pada 15 November,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerjasama dan perpaduan dalam PH Sabah kekal kuat.
“Saya dimaklumkan bahawa kami adalah antara yang pertama mencapai konsensus mengenai kerusi,” tambahnya.