Kesilapan sebut nama pemimpin Asean harus jadi iktibar, kata menteri

Kesilapan sebut nama pemimpin Asean harus jadi iktibar, kata menteri

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan langkah pembetulan.

rtm logo
Satu jawatankuasa sedang meneliti proses editoreal dan penyiaran susulan kesilapan pengulas RTM menyebut tiga nama pemimpin Asean.
SHAH ALAM:
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa insiden kesilapan menyebut nama tiga pemimpin negara Asean semasa siaran langsung oleh RTM minggu lalu dijadikan iktibar semua pihak.

Beliau berkata siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian berlaku pada persidangan Asean ke-47 di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kementerian juga sudah mengarahkan jawatankuasa khas meneliti keseluruhan proses editorial dan penyiaran bagi memastikan aspek tadbir urus serta disiplin diperkukuh untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

“Saya telah meminta supaya pihak kementerian memulakan siasatan dalaman untuk meneliti keseluruhan isu ini.

Fahmi Fadzil.
Fahmi Fadzil.

“Jika ada aspek tadbir urus atau disiplin yang perlu diperbaiki, tindakan susulan akan diambil,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Kurier Negara 2025 bertemakan ‘Merakyatkan Penghantaran, Menghubungkan Negara’.

“Saya percaya isu ini dapat diuruskan dengan baik, dan yang lebih penting kita pastikan ia tidak berulang pada masa depan,” kata Fahmi.

Insiden itu berlaku ketika siaran liputan Sidang Kemuncak Asean, yang menyaksikan nama tiga pemimpin negara jiran disebut secara salah oleh penyampai RTM, sehingga menarik perhatian pengguna media sosial dan media luar negara.

Pengulas itu secara tidak sengaja menyebut nama Joko Widodo, sedangkan presiden Indonesia ketika ini ialah Prabowo Subianto.

Nama perdana menteri Singapura pula disebut Lee Hsien Loong bukan Lawrence Wong.

Pengulas siaran juga menyebut nama perdana menteri Thailand sebagai Srettha Thavisin dan bukan Anutin Charnvirakul yang menjawat jawatan itu kini.

Susulan insiden berkenaan, Jabatan Penyiaran Malaysia memohon maaf atas kesilapan pengulas siaran yang tersilap menyebut nama ketua negara terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.