
Pengerusi BN negeri berkata, kelewatan memuktamadkan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) susulan keinginan dua pihak mahu bertanding di kawasan tertentu.
Sebelum ini, laporan media menyatakan BN Sabah berhasrat untuk bertanding di 48 kerusi pada PRN kali ini.
Dalam pada itu, Bung berkata perbincangan pembahagian kerusi BN-PH kini di fasa akhir dengan hampir 70% dimuktamadkan.
Beliau berkata, masih terdapat beberapa kerusi yang perlu diperhalusi antara kedua-dua pihak bagi mencapai persetujuan bersama sebelum pengumuman rasmi dibuat.
“Ada lagi beberapa kerusi yang perlu diperhalusi antara BN dan PH. Insya-Allah saya akan berjumpa dengan pimpinan-pimpinan ini pada 3 atau 4 Nov ini untuk kita selesaikan,” katanya menurut Bernama di Sandakan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 Nov ini, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 Nov.