Keserasian ‘menakjubkan’ Anwar-Trump bawa kejayaan diplomasi, kata setpol PM

Keserasian ‘menakjubkan’ Anwar-Trump bawa kejayaan diplomasi, kata setpol PM

Shamsul Iskandar Akin berkata seluruh dunia terkejut dengan cara dua pemimpin itu berinteraksi pada 26 Okt.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Shamsul Iskandar Akin berkata menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen memantau semua perjanjian perdagangan dimeterai semasa kepengerusian Asean Malaysia dan memastikan ia dilaksanakan sepenuhnya.
PETALING JAYA:
Rakyat Malaysia yang mulanya tidak senang dengan lawatan Presiden Donald Trump dapat melihat keserasian antaranya dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sekali gus menjadikan pertemuan itu kemenangan diplomatik negara, kata Setiausaha Politik Anwar, Shamsul Iskandar Akin.

“Apa reaksi Trump? Apa yang akan beliau katakan di rostrum? Rakyat rasa gusar,” kata Shamsul kepada FMT dalam temu bual.

Shamsul berkata, pertemuan pada 26 Okt itu mengejutkan ramai, memandangkan Anwar sebelum ini disindir tidak relevan kerana tidak menerima panggilan telefon dari White House selepas Trump kembali ke menjadi presiden.

“Bukan sahaja rakyat Malaysia, malah seluruh dunia terkejut melihat bagaimana Trump serasi dengan Anwar. Keserasian antara Anwar dan Trump cukup menakjubkan,” katanya.

Donald Trump Anwar Ibrahim
Bahasa badan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden AS Donald Trump paparan diplomasi peringkat tertinggi, kata Shamsul Iskandar Akin.

Setibanya di KLIA pada 26 Okt, Trump, ditemani Anwar dengan keduanya menggenggam tangan sambil menggerakkannya ke atas dan bawah, ketika rombongan pemukul gendang dan penari tradisional menyambutnya di atas permaidani merah.

Kata Shamsul, Trump kemudian menjemput Anwar menaiki kenderaan rasmi digelar The Beast bersamanya, di mana pelbagai topik dibincangkan antara kedua-dua pemimpin itu.

“Ini menunjukkan kepimpinan itu penting. Beliau mengamalkan gaya kepimpinan yang sentiasa berinteraksi dan mahukan dialog,” katanya.

Shamsul berkata, satu lagi detik yang patut diberi perhatian ialah apabila Anwar berjenaka dengan Trump mengenai isu pemenjaraannya sendiri, membina hubungan mesra yang menunjukkan Kuala Lumpur dan Washington bekerjasama.

“Bahasa badan antara kedua-dua pemimpin itu menunjukkan Malaysia dan AS berada di landasan yang betul. Ia mengesahkan diplomasi mereka berada di tahap tertinggi,” katanya.

Dalam ucapan yang santai pada Ahad, Anwar menyatakan beliau dan Trump ‘berkongsi banyak persamaan’.

“Antaranya adalah saya pernah dipenjarakan dan anda hampir sahaja ke sana,’ beliau berseloroh, mengundang tawa hadirin yang berada di majlis yang diadakan di luar Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Mesyuarat Berkaitan.

Masa Ahli Parlimen bekerja

Shamsul berkata, Ahli Parlimen kini perlu memantau semua perjanjian dimeterai semasa kepengerusian Asean Malaysia tahun ini bagi memastikan ia dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau berkata, pelbagai perjanjian perdagangan ditandatangani menjadi ‘perkara penting dan strategik kepada negara’ dan kini perlu didasari dengan kemajuan yang jelas.

Shamsul turut menyentuh kritikan pemimpin pembangkang kononnya Anwar berbelanja berlebihan untuk lawatan ke luar negara, dengan menyatakan lawatannya ke negara lain bukanlah ‘sekadar makan angin’.

Beliau berkata, Anwar telah memperkukuh hubungan dengan pemimpin dunia dari Rusia, China, Timur Tengah, dan negara-negara Selatan-selatan, sambil menjadi perantara gencatan senjata Thailand-Kemboja dan menyelia usaha kemanusiaan dan keamanan di Myanmar.

“Inilah dia libat urus. Apabila anda (menjadi kerajaan), anda mahu memastikan orang datang ke negara ini dan bawa masuk pelaburan,’ katanya sambil menambah Malaysia juga telah menetapkan piawaian tinggi untuk diikuti negara Asean lain dari segi diplomasi dan perdagangan.

Pada Ahad, Malaysia dan AS menandatangani Perjanjian Tarif Timbal Balik yang meluas, bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala, meluaskan akses pasaran, dan meningkatkan ketahanan rantaian bekalan.

Di bawah perjanjian itu, Malaysia komited menyediakan akses pasaran keutamaan yang signifikan bagi eksport barangan industri AS, termasuk bahan kimia, jentera, dan peralatan elektrik, logam dan kenderaan penumpang, serta bagi eksport pertanian seperti produk tenusu, ayam, dan beras.

Sementara itu, AS akan mengekalkan tarif timbal balik 19% ke atas barangan Malaysia, dengan produk tertentu menerima kadar tarif 0% di bawah senarai sejajar rakan kongsi.

Malaysia juga akan mengelak daripada mengharamkan, atau mengenakan kuota ke atas eksport mineral kritikal atau unsur nadir bumi ke AS, dan akan bekerjasama dengan syarikat AS ‘untuk mewujudkan kepastian bagi perniagaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.