Tempoh rayu makin luput, Wan Fayhsal persoal Lembaga Rayuan tak cukup korum

Tempoh rayu makin luput, Wan Fayhsal persoal Lembaga Rayuan tak cukup korum

Pemimpin Bersatu digantung itu turut persoal sama ada alasan tidak cukup korum sebagai kelewatan disengajakan.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung parti pada 14 Okt kerana melanggar perlembagaan dan kod etika parti.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menuduh Lembaga Rayuan Bersatu bersifat berat sebelah.

Ia berlaku selepas lembaga itu memberikan alasan belum mencapai korum memerlukan tiga ahli lagi.

Pada sidang media di Parlimen, Wan Fayhsal memberitahu beliau dan beberapa ahli lain yang berdepan tindakan disiplin ada menerima maklum balas menyatakan rayuan mereka masih tertangguh, walaupun tarikh akhir 14 hari semakin hampir.

“Pengerusi Lembaga Rayuan Zulkifli Nordin satu-satunya ahli panel. Panel itu tidak boleh bersidang kerana korum memerlukan tiga ahli,” katanya.

“Ini bermakna tiada keputusan muktamad boleh dibuat mengenai kes kami.”

Wan Fayhsal mempersoalkan sama ada kelewatan tersebut disengajakan.

“Semakin lama proses ini ditangguhkan, semakin tidak adil bagi kami kerana rayuan kami tidak dapat diproses.

“Jadi, kami ingin bertanya terus kepada presiden adakah kelewatan ini disengajakan untuk membiarkan kedudukan kami tergantung dan tidak menentu?” soalnya.

Semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu bulan lalu, Presiden parti Muhyiddin Yassin mendedahkan wujud pihak tertentu sedang mengumpul tandatangan untuk menjatuhkannya, mendorong beberapa perwakilan bangun menyeru agar beliau berundur.

Kekecohan yang berlaku selepas itu membawa pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Wan Fayhsal kerana melanggar perlembagaan dan kod etika parti.

Lembaga Disiplin juga telah memecat empat ketua bahagian — Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya), Faizal Asmar (Pengerang), Fadhli Ismail (Ipoh Timur), dan Isa Saidi (Ampang).

Wan Fayhsal juga mendakwa Hamzah yang merupakan ketua pembangkang, adalah sasaran sebenar, sambil menambah mereka hanyalah ‘kes sampingan’.

“Fokus sebenar Lembaga Disiplin ialah ketua pembangkang.

“Sebab itulah kami yang menghadapi tindakan disiplin hanyalah (kes) sampingan semata-mata. Sasaran utama ialah Hamzah,” beliau dipetik sebagai berkata.

Turut dipanggil Lembaga Disiplin hari ini tiga lagi ketua bahagian – Abdul Razak Khamis (Pendang), Suhaimi Ghazali (Sepang), dan Shukor Mustafa (Puchong).

Wan Fayhsal juga mengkritik Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham, kerana menyatakan individu yang berdepan tindakan disiplin tidak akan dibenarkan kembali dalam parti.

Beliau menyifatkan kenyataan sedemikian tidak wajar kerana Lembaga Rayuan masih belum memutuskan rayuan mereka.

Hilman memberitahu Utusan Malaysia, bukan sahaja tidak menunjukkan keinsafan selepas dihukum parti, malah ahli yang dipecat itu malah masih melakukan tindakan ‘yang semakin hari semakin parah’ seolah-olah menuntut hukuman lebih berat walaupun mereka boleh merayu.

Beliau turut menyatakan Wan Fayhsal sudah empat kali ponteng apabila dipanggil Lembaga Disiplin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.