
Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu menegaskan hasil negeri mesti melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi yang nyata, agar limpahan ekonomi dan ekosistem berkaitan dinikmati rakyat setempat.
“Hasil negeri juga tidak boleh terhad kepada royalti semata-mata,” menurut kenyataan.
Empat negeri berkenaan sedang membangunkan pelan strategik pengurusan REE yang diselaras bersama, meliputi aspek eksplorasi, perlombongan lestari, pengurusan alam sekitar, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan tempatan.
Sumber REE di empat negeri itu mewakili 70% daripada sumber REE negara, katanya, menekankan polisi semasa yang mahu menarik penyertaan pelbagai pihak industri dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat sendiri.
“SG4 menyokong aspirasi persekutuan untuk membangunkan ekosistem industri REE yang menyeluruh di Malaysia,” katanya.
“Namun sebarang perancangan nasional mesti mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber dan tidak boleh dilakukan tanpa libat urus rasmi bersama kerajaan negeri.”
Dalam pada itu, SG4 menyeru sebarang pelan pembangunan REE peringkat nasional serta rundingan antarabangsa menghormati hak negeri, dan menyertakan wakil negeri-negeri sumber dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan.
SG4 katanya tidak mahu ‘kesilapan lampau’ berhubung perjanjian royalti minyak diulang dalam konteks industri REE.
“SG4 sentiasa terbuka untuk bekerjasama dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati. Namun pengurusan dan pembahagian hasil mesti berasaskan prinsip ketelusan, keadilan dan perkongsian keuntungan yang seimbang,” katanya.
Kenyataan ditandatangani Menteri Besar Shukri Ramli (Perlis), Sanusi Nor (Kedah), Nassuruddin Daud (Kelantan), dan Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu).
Seruan ini menyusuli gesaan Kelantan, yang menimbulkan persoalan sama ada negeri masih bebas menentukan dasar sendiri atau terikat kepada komitmen antarabangsa, susulan pemeteraian perjanjian timbal balas Malaysia dan Amerika Syarikat pada 26 Okt lalu.
Perjanjian itu antaranya menyaksikan Malaysia akan mengelakkan daripada mengenakan larangan atau kuota eksport terhadap mineral kritikal atau REE yang dihantar ke AS, serta akan bekerjasama dengan syarikat AS ‘bagi mewujudkan kepastian untuk perniagaan meningkatkan kapasiti pengeluaran’.
Perjanjian itu memastikan pelaburan perdagangan dalam mineral kritikal oleh kedua-dua pihak bebas dan berdaya tahan, menurut Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer, berlatarkan kawalan eksport China ke atas REE — komponen kritikal dalam penghasilan teknologi tinggi seperti kenderaan elektrik, semikonduktor dan sistem pertahanan.
Malaysia dilaporkan mempunyai kira-kira 16.1 juta tan deposit REE, menurut anggaran kerajaan, namun kekurangan teknologi untuk melombong dan memproses.
Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz dilapor berkata Malaysia akan mengekalkan larangan eksport REE mentah bagi melindungi sumber domestik.