
Menteri Luar Mohamad Hasan, berkata rantau ini sedang mengalami perubahan pantas didorong teknologi yang mengganggu, peralihan demografi, dan pertumbuhan industri kreatif dan budaya.”
“Kerjasama digital menjadi jambatan kita, menghubungkan inovasi kepada keterangkuman dan pertumbuhan kepada kemampanan,” katanya dalam ucapan celahan pada Mesyuarat Menteri-menteri Apec.
Wawasan Putrajaya 2040, yang diterima pakai pada Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi Apec ke-27 yang dihoskan Malaysia, mengikat ekonomi anggota untuk pertumbuhan inklusif, lestari, dan dipacu inovasi, sambil memdalamkan kerjasama serantau sepanjang dua dekad mendatang.
Mohamad menekankan tiga keutamaan kerjasama serantau – pendigitalan hijau dengan infrastruktur cekap tenaga dan mesra iklim; peraturan kecerdasan buatan (AI) yang jelas dan beretika; dan tadbir urus data rentas sempadan yang dipercayai melalui peraturan dan pembangunan kapasiti lebih baik.
Beliau berkata, Malaysia menawarkan Program Kerjasama Teknikal Malaysia, yang melatih lebih 38,000 peserta dari 144 negara, bagi penganjuran bengkel mengenai privasi, perlindungan data, dan etika AI bertanggungjawab.
“Ini akan memperkukuh keupayaan Asia-Pasifik membina ekosistem digital dipercayai dan berkesan,” katanya.
Pada sesi berasingan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, menggesa ekonomi Apec menggunakan transformasi digital dan AI bagi memodenkan peraturan perdagangan global dan memastikan pertumbuhan inklusif.
“Pendigitalan bukan sahaja mesti menjadikan perdagangan lebih pantas dan pintar, ia mesti menjadikannya lebih adil dan inklusif,” katanya.
Beliau juga menyeru supaya Perjanjian Fasilitasi Perdagangan (TFA) Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dimodenkan sebagai mencerminkan realiti digital semasa.
“Perdagangan global hari ini bergantung pada sistem dan data yang tidak wujud ketika TFA digarap,” katanya.
“Memodenkan kemudahan perdagangan bukan mengenai menulis semula peraturan – ia adalah mengenai pengolahan semula kecekapan. Jika kita gagal menyesuaikan diri, kerangka kerja kita berisiko menjadi tinggalan sejarah.”