Lebih 2,000 diberkas berkait penipuan ‘online’

Lebih 2,000 diberkas berkait penipuan ‘online’

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Rusdi Mohd Isa berkata 545 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Rusdi Mohd Isa menunjukkan statistik jumlah tangkapan Op Mule dari 22 hingga 28 Sept lalu pada sidang media hari ini.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan lebih 2,000 individu dipercayai ahli sindiket penipuan dalam talian yang menggunakan ‘akaun keldai’ dalam operasi khas di seluruh negara sepanjang September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Rusdi Mohd Isa, berkata seramai 1,303 individu ditahan menerusi Op Mule dari 22 hingga 28 Sept, melibatkan 778 kertas siasatan dibuka di seluruh negara.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 424A, 424B, 424C Kanun Keseksaan.

“Sebanyak 270 kertas siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah, manakala sebanyak 313 kertas siasatan masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, manakala seramai 790 individu yang juga pemilik ‘akaun keldai’ bagi aktiviti penipuan e-dagang berjaya ditahan melalui pelaksanaan Op Merpati Khas pada 2 hingga 12 Sept lalu.

Katanya, semua tangkapan membabitkan 660 kertas siasatan dibuka di seluruh negara dengan jumlah kerugian RM11,597,561.08.

“Sebanyak 275 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah,” katanya.

Menurutnya, seramai 30 individu lain turut diberkas kerana dipercayai terlibat secara langsung dalam menjalankan pusat panggilan aktiviti penipuan e-dagang beroperasi di seluruh negara.

Dalam pada itu, Rusdi berkata jenayah penipuan e-dagang menyebabkan kerugian keseluruhan sebanyak RM54,137,885.24 sepanjang Januari hingga Mei lalu.

Justeru, orang ramai diminta sentiasa membuat semakan di portal Semak Mule PDRM sebelum melakukan transaksi kewangan atau urusan dalam talian.

Katanya, langkah mudah itu mampu menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa sindiket penipuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.