
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata Bersatu kini berdepan dengan ancaman yang boleh memusnahkan parti kerana perebutan kuasa yang berlaku kini telah mencapai tahap tiada jalan kembali.

“Saya fikir amat sukar untuk Bersatu kekal teguh, bukan sahaja menjelang PRU16, malah dalam beberapa bulan akan datang. Pertelingkahan kini semakin terbuka, dengan desakan supaya presiden meletak jawatan,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata Muhyiddin Yassin sepatutnya berundur ketika beliau pertama kali mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden, “tetapi beliau berpatah balik 180 darjah”.
“Kalau beliau berundur secara sukarela tanpa mempertahankan jawatan presiden, Bersatu tidak akan berada dalam situasi seperti sekarang,” katanya.
Menurut Azmi, harapan untuk menstabilkan parti kini bergantung kepada tindakan muktamad pimpinan tertinggi.
“Sama ada Muhyiddin kekal dan kumpulan Hamzah ditendang keluar, atau Muhyiddin berundur secara sukarela dan Hamzah ambil alih. Sesuatu mesti dilakukan jika Bersatu mahu terus hidup secara politik sebelum PRU16,” katanya.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia bersetuju bahawa krisis dalaman Bersatu semakin meruncing, tetapi beliau berpendapat parti itu tidak akan tewas dalam pilihan raya.

“Bersatu masih boleh bertanding selagi ia masih bersama PAS,” katanya.
Bagaimanapun, Mazlan memberi amaran bahawa Bersatu berisiko runtuh jika hubungannya dengan PAS semakin retak, dan ada risiko berlaku situasi ahli keluar parti beramai-ramai atau protes dalaman.
“Kalau Perikatan Nasional berpecah dan PAS meninggalkan Bersatu, Bersatu pasti berakhir,” katanya.
Walaupun krisis itu masih tertumpu di peringkat kepimpinan tertinggi dan belum memberi kesan besar kepada akar umbi, Mazlan berkata barisan kepimpinan mesti menerima realiti semasa dan melaksanakan proses pembaharuan segera.
“Ini situasi sukar untuk Muhyiddin. Pemimpin lama perlu bersedia melaksanakan proses peralihan kepada kepimpinan baharu secepat mungkin,” katanya.
Katanya, semakin ramai pemimpin kanan kini secara terbuka mendesak Muhyiddin meletak jawatan selepas seorang Ahli Parlimen dipecat dan seorang lagi digantung.
Dalam perhimpunan agung Bersatu bulan lalu, Muhyiddin mendedahkan bahawa ada pihak sedang mengumpul tandatangan untuk menyingkirkannya, menyebabkan beberapa perwakilan mendesak beliau berundur.
Kekecohan itu kemudiannya membawa kepada pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Wan Saiful menuduh beberapa individu yang rapat dengan Muhyiddin menyebabkan hubungan antara kepimpinan tertinggi parti menjadi renggang, termasuk menamakan Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali dan Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz.
Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, turut menyertai desakan supaya Muhyiddin melepaskan jawatan presiden.
Tidak berapa lama selepas itu, beliau digugurkan sebagai ketua PN Pahang yang disandangnya sejak 2021.