Kes kelar adik: Bahaya dalam talian perlu ditangani secara tuntas

Kes kelar adik: Bahaya dalam talian perlu ditangani secara tuntas

Pakar sarankan tiga tujahan, iaitu kawal akses kanak-kanak kepada peranti, tingkat celik digital, dan garis panduan serta peraturan yang jelas oleh kerajaan.

Pakar seru pendekatan tuntas melibatkan pelbagai pihak bagi menangani bahaya dunia dalam talian. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Tragedi ganas melibatkan kanak-kanak yang dikaitkan dengan dunia dalam talian harus dijadikan suatu amaran, dan perlu ditangani secara tuntas melibatkan pelbagai pihak.

Pakar menyarankan pendekatan berlandaskan tiga tujahan, iaitu mengawal akses kanak-kanak bawah usia 12 tahun kepada peranti, meningkatkan celik digital, dan garis panduan serta peraturan yang jelas oleh kerajaan.

Dalam kejadian Isnin lalu, seorang kanak-kanak berusia 6 tahun ditemukan dalam keadaan parah dengan kesan kelar di leher kanan akibat senjata tajam.

Polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak lelaki itu dicederakan oleh abangnya sendiri, yang berusia sembilan tahun, akibat pengaruh permainan video dalam talian.

Siasatan awal mendapati abang mangsa berkemungkinan mencederakan adiknya selepas permainan Roblox yang dimainkan terganggu dan semua ‘point’ yang dikumpulnya hilang, menurut Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Aishah Hanim Abd Karim, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata kes seorang kanak-kanak dikelar baru-baru ini mendesak penglibatan semua pihak kerana kanak-kanak belum mempunyai kematangan kognitif dan kawalan diri yang kukuh untuk membezakan antara dunia maya dan realiti.

“Oleh itu, pengawasan ibu bapa amat penting. Kanak-kanak tidak wajar diberi akses bebas terhadap peranti, permainan atau kandungan digital tanpa had masa, tapisan kandungan dan bimbingan menyeluruh,” katanya.

“Ibu bapa perlu cakna dan tahu apa yang anak mereka tonton atau main dan menetapkan peraturan penggunaan yang jelas. Sebaiknya, elakkan pemberian peranti kepada kanak-kanak bawah 12 tahun kecuali untuk tujuan pembelajaran.”

Mengulas lanjut, Aishah menekankan tumpuan tidak boleh pada teknologi semata-mata, tetapi perlu membina ekosistem yang sihat melalui pendidikan.

“Mungkin larangan sepenuhnya terhadap penggunaan telefon bimbit bagi remaja bawah 16 tahun terlalu drastik dan sukar dikuatkuasakan, namun pendekatan kawalan berperingkat serta pendidikan ‘digital parenting’ perlu diperkasakan,” katanya.

“Ini penting bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang risiko penggunaan gajet tanpa pengawasan. Kita tidak boleh menyalahkan teknologi semata-mata. Sebaliknya perlu membina ekosistem penggunaan digital yang sihat antara anak, ibu bapa, sekolah dan masyarakat.”

Aishah turut menyeru kerajaan menetapkan garis panduan umur penggunaan telefon bimbit dan permainan dalam talian, di samping melaksanakan program celik digital untuk ibu bapa dan murid di sekolah, serta memperketatkan kawalan aplikasi dengan sistem penarafan umur.

Sokongan terhadap kawalan umur turut datang daripada industri. Presiden Kelab Sukan Elektronik TODAK, Azlan Zainal, menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung keperluan mengehadkan penggunaan telefon pintar bagi pelajar di bawah usia 16 tahun.

“Sebagai organisasi yang aktif membangunkan komuniti belia melalui pendidikan dan e-sukan, TODAK percaya langkah ini wajar bagi memupuk disiplin, keseimbangan hidup serta pengurusan masa yang sihat dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.