
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, hakikatnya Malaysia perlu mengekalkan hubungan perdagangan dengan kuasa ekonomi utama seperti AS.
Puad menambah bahawa tindakan Washington mengurangkan tarif ke atas eksport Malaysia daripada 25% kepada 19% sudah merupakan satu perkara baik.
“Apakah kita ada pilihan lain? Kita bukan macam China yang boleh balas tarif dengan tarif.
“Apakah kedudukan Malaysia lebih baik jika kita tidak tandatangani perjanjian itu?,” soalnya di Facebook.
Puad turut berkata penjelasan yang diberikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, mengenai perjanjian itu meyakinkannya terhadap keputusan Putrajaya.
Beliau menambah bahawa penjelasan tersebut lebih berwibawa berbanding kritikan dibuat oleh Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz dan bekas pemimpin Umno Isham Jalil.
Semalam, Tengku Zafrul berkata Malaysia akan dikenakan tarif lebih tinggi sekiranya tidak menandatangani perjanjian perdagangan dengan AS, sekali gus menjejaskan daya saing negara, pelaburan, dan peluang pekerjaan.
Perjanjian itu juga membawa kepada penghapusan 1,711 talian tarif bernilai RM22 bilion.
Menteri itu turut menjelaskan bahawa perjanjian tersebut tidak mewajibkan Putrajaya meniru langkah AS dalam mengenakan duti kastam, larangan atau sekatan import terhadap barangan dan perkhidmatan dari negara lain.
Menjawab kritikan pembangkang, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa kerajaan hanya berkewajipan mengenakan sekatan terhadap negara lain bagi menangani isu ekonomi atau keselamatan nasional yang ‘dikongsi’ bersama antara AS dan Malaysia.