
Kenaikan daripada tangga ke-15 tahun lalu (2025) dalam kategori sama mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan Anwar serta kedudukan Malaysia di peringkat global.
Dalam penerbitan buku itu, Anwar disenaraikan antara 50 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia, bersama tokoh lain seperti Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani yang menduduki tempat pertama, Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud (kelapan) dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (15).
RISSC turut mencatatkan Anwar berada di tangga ketujuh dalam kategori pemimpin Islam dan ahli politik paling berpengaruh di dunia, naik daripada tanggan ke-9 tahun lalu, mengatasi Prabowo (10) dan Presiden Mesir, Abdel Fattah Saeed Al-Sisi (13).
Penilaian ini berdasarkan pengaruh tokoh Muslim yang didefinisikan sebagai kemampuan untuk membawa perubahan ketara dalam dunia Islam atau dalam kalangan umat Islam, sama ada dari aspek budaya, ideologi, kewangan, politik atau bidang lain, dengan impak dilihat sebagai positif atau negatif bergantung kepada perspektif.
Dalam pengenalan ringkas mengenai Anwar, penerbitan itu menyatakan beliau memainkan peranan penting dalam meredakan ketegangan Thailand dan Kemboja selepas pertempuran sempadan selama beberapa hari serta lantang bersuara mengenai perjuangan rakyat Palestin menghadapi kekejaman Israel.
“Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh, mengukuhkan imej Malaysia sebagai pengantara keamanan konstruktif di Asia Tenggara. Sementara itu, beliau juga penyokong tegas hak Palestin menentang pendudukan.
“Perjumpaannya dengan pegawai Hamas (termasuk pemimpin Hamas dibunuh, Ismail Haniyeh) mendapat kritikan Amerika Syarikat.
“Catatannya di media sosial yang menzahirkan ucapan takziah selepas pembunuhan Ismail Haniyeh dipadam, mendorong beliau menyatakan: ‘Biarlah ini menjadi mesej jelas dan tegas kepada Meta: hentikan sikap pengecut ini dan berhenti bertindak sebagai alat rejim Zionis Israel yang menindas,” menurut penerbitan itu.