Krisis Bersatu berlarutan usai penyingkiran Saifuddin, kata penganalisis

Krisis Bersatu berlarutan usai penyingkiran Saifuddin, kata penganalisis

Saifuddin Abdullah digugurkan sebagai ketua PN Pahang beberapa hari selepas desak Muhyiddin Yassin letak jawatan presiden Bersatu.

perhimpunan
Syaza Shukri beri amaran pergolakan dalaman Bersatu jika berterusan boleh membawa perpecahan dan gelombang keluar parti lebih besar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penyingkiran Saifuddin Abdullah sebagai ketua Perikatan Nasional (PN) Pahang menggambarkan pergolakan dalaman Bersatu masih belum reda, malah berpotensi berlarutan, kata penganalisis.
Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Syaza Shukri berkata, perkembangan itu bukan sesuatu yang mengejutkan, mengingatkan bagaimana Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal lantang mengkritik parti selepas digantung keahliannya.

Menurut penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu, tidak mustahil Saifuddin juga akan mengetengahkan isu yang sebelum ini tidak didedahkan, sama seperti Wan Fayhsal yang mendedahkan kelemahan parti di mata rakyat.

“Keadaan itu, jika berterusan, berpotensi membawa kepada dua kemungkinan: perpecahan atau gelombang keluar parti yang lebih besar,” katanya kepada FMT.

Setiausaha Agung PN, Azmin Ali, ketika mengumumkan perubahan kepimpinan PN di beberapa negeri termasuk Pahang berkata, keputusan dibuat bagi membentuk gabungan politik yang lebih inklusif, progresif dan prihatin kepada rakyat.

Keputusan dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN dipengerusikan Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi gabungan itu.

Saifuddin digugurkan daripada jawatan disandang sejak 2021 dan digantikan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Perkembangan itu menyusul selepas Ahli Parlimen Indera Mahkota menggesa Muhyiddin meletak jawatan sebagai presiden Bersatu, baru-baru ini.

Krisis Bersatu tercetus menjelang Perhimpunan Agung Tahunan parti, susulan penyebaran surat layang yang menuduh Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin memanipulasi dakwaan bahawa Muhyiddin berjanji menyerahkan kepimpinan parti kepadanya.

Ia merujuk kepada apa yang dikenali sebagai ‘Konsensus Gopeng’, namun dijelaskan hanya merupakan persefahaman untuk Muhyiddin menentukan formula pemilihan parti 2024, bukan janji penggantian jawatan.

Surat itu turut mendakwa Hamzah cuba menggugat kedudukan Muhyiddin dan menyebarkan maklumat tidak benar sehingga mencetuskan perpecahan dalam Bersatu.

Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti pada Oktober tahun lalu untuk penggal 2024-2027.

Lanjutan episod itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dipecat pada 8 Okt kerana didakwa melanggar perlembagaan dan tatakelakuan parti, manakala Wan Fayhsal digantung keahlian selama sepenggal.

Ariff Aizuddin Azlan
Ariff Aizuddin Azlan.

Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpendapat krisis Bersatu bukan sekadar isu kedudukan, sebaliknya melibatkan persepsi politik yang semakin sukar dikawal.

“Walaupun ia digambarkan sebagai penstrukturan dalaman PN, persepsi umum tetap mengaitkannya dengan perselisihan dalam Bersatu.

“Dalam politik, persepsi boleh membentuk realiti. Jika keadaan ini tidak ditangani, ia boleh membawa kepada pembentukan dua blok dalam parti,” katanya.

Namun, beliau berpendapat rombakan itu sukar dielakkan memandangkan sikap Saifuddin yang semakin kritikal terhadap pimpinan tertinggi parti.

“Mungkin langkah ini diambil untuk mengekang perbezaan pandangan daripada merebak lebih jauh menjelang pilihan raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.