
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata kerajaan akan meneliti cadangan Rodziah Ismail (PH-Ampang) termasuk dari segi mandat, struktur, perundangan dan implikasi kewangan.

Beliau menjelaskan ini bagi mengelakkan peranannya bertindih dengan institusi sedia ada iaitu Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Kanak-Kanak (Suhakam).
“Kerajaan berpendapat tambah baik kepada peranan dan autonomi Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suhakam perlu terus diperkukuh sebagai langkah segera.
“Kajian lanjut mengenai model institusi terbaik bagi perlindungan hak kanak-kanak diteruskan berasaskan amalan terbaik antarabangsa dan kesesuaian dengan konteks negara,” katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2026 untuk kementeriannya di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan lain, Azalina mengulangi Rang Undang-Undang Antibuli 2025 dijangka dibentangkan di Parlimen pada Disember depan.
“Saya ingin menegaskan kerajaan komited untuk membentangkan Rang Undang-Undang Antibuli 2025 pada Mesyuarat Parlimen kali ini, sebagaimana yang telah dijanjikan.
“Langkah ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam merealisasikan agenda reformasi perundangan yang memberi keutamaan kepada perlindungan, kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak di negara ini,” katanya.