Kerajaan nafi dakwaan tak serius pisah kuasa peguam negara, pendakwa raya

Kerajaan nafi dakwaan tak serius pisah kuasa peguam negara, pendakwa raya

Timbalan Menteri M Kulasegaran nafi pandangan wakil rakyat DAP Lim Lip Eng yang kerajaan tak serius melaksanakan reformasi undang-undang itu.

Kulasegaran dan Lim Lip
M Kulasegaran jawab persoalan dibangkitkan Lim Lip Eng yang mendakwa kerajaan tidak serius asing kuasa peguam negara dan pendakwa raya.
PETALING JAYA:
Kerajaan menafikan dakwaan seorang wakil rakyat DAP yang Putrajaya tidak serius dalam melaksanakan pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran berkata kerajaan sememangnya serius dan memberi komitmen 100% dalam melaksanakan pemisahan kuasa itu.

Menurutnya, proses itu turut mengambil masa kerana perlu ada perbincangan kerajaan dengan pihak berkepentingan.

“Garis masa (dijangka) tahun depan.

“Ini kali pertama cadangan sedemikian. Jadi makan masa lebih, tetapi komitmen 100%,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Dalam soalan tambahannya Lim Lip Eng (PH-Kepong) meminta penjelasan mengapa kerajaan lambat untuk melaksanakan pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.

Dakwanya, kelewatan itu menunjukkan kerajaan tidak serius dalam melaksanakan reformasi undang-undang terbabit di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Jemaah Menteri pada 10 Sept lalu bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 yang digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan pendakwa raya berkuasa sendiri.

Kabinet turut bersetuju model pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya.

Jemaah Menteri turut memutuskan melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan itu diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya antara reformasi institusi dan tadbir urus hendak dilaksanakan kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.