
Badan induk bola sepak Malaysia itu berkata gambar menampilkan Azman yang kini digantung tugas susulan kontroversi membabitkan pendaftaran tujuh pemain warisan, tidak ada kaitan dengan sebarang acara atau mesyuarat rasmi sama ada anjuran FAM atau Fifa.
“Beliau tidak mewakili atau membawa sebarang urusan rasmi FAM.
“FAM ingin menegaskan sejak dikenakan hukuman penggantungan tugas pada 17 Okt, Azman tidak terlibat dalam sebarang aktiviti, mesyuarat atau program rasmi FAM,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas FMT melaporkan mengenai gambar Azman bersama Infantino yang tular di media sosial, sekali gus mencetuskan persoalan tentang status penggantungannya.
Persatuan itu berkata pihaknya mengambil maklum laporan berkenaan dan berharap penjelasan ini dapat menghentikan sebarang spekulasi yang timbul.
“FAM berharap penjelasan ini dapat memperjelas kekeliruan yang mungkin timbul susulan laporan berkenaan,” katanya.
Infantino berada di Malaysia sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 2025, yang berlangsung dari 26 hingga 28 Okt.
Noor Azman digantung tugas pada 17 Okt lepas susulan kontroversi dokumen palsu didakwa dikemukakan kepada Fifa bagi membolehkan tujuh pemain warisan mewakili skuad kebangsaan.
Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
FAM mengesahkan wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen pemain yang dilakukan oleh kakitangannya.
Azman menegaskan tujuh pemain berdarah warisan yang dikaitkan dengan isu pemalsuan dokumen itu merupakan rakyat Malaysia yang sah.
Bagaimanapun, FIFA dalam laporan rasmi bertajuk Notification of the Grounds of the Decision bertarikh 6 Oktober 2025 menjelaskan, hukuman dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA melibatkan kes pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Susulan pelanggaran itu, FIFA mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM10,000) serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.