
Beliau berkata, langkah itu memastikan kestabilan bekalan LNG, sekali gus membolehkan syarikat minyak nasional tersebut memenuhi tanggungjawabnya kepada pelanggan tempatan dan antarabangsa.
“Petronas sebenarnya dari dulu lagi membeli LNG dari pelbagai negara termasuk AS. Sebelum pengumuman tarif pun Petronas dah beli LNG dari AS.
“Tapi sebab kita tak kerja di Petronas, bila dengar pengumuman sahaja, terus melompat, sedangkan perkara ini bukan baharu.
“Perolehan ini merupakan sebahagian daripada strategi komersial bagi memastikan kestabilan bekalan serta memenuhi komitmen kontrak domestik dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan menteri di Dewan Rakyat berkait perjanjian perdagangan Malaysia-AS.
Di bawah perjanjian ditandatangani pada Ahad oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden AS Donald Trump, Petronas akan membeli tiga juta tan setahun (MTPA) LNG dari AS bernilai USD2.04 bilion setahun.
Perjanjian itu juga menyatakan Petronas berpotensi membeli tambahan dua MTPA LNG dari AS, bernilai USD1.36 bilion.
Malaysia juga bersetuju untuk tidak mengharamkan atau mengehadkan eksport mineral kritikal atau unsur nadir bumi (REE) ke AS, serta bekerjasama dengan syarikat AS untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Menjawab dakwaan perjanjian perdagangan itu akan membenarkan eksport tanpa had bagi mineral kritikal, Zafrul berkata, eksport unsur nadir bumi mentah masih diharamkan — hanya unsur nadir bumi yang telah diproses dibenarkan untuk dieksport ke luar negara.
“Malaysia masih mengekalkan dasar melarang eksport REE mentah bagi memastikan pembangunan industri hiliran tempatan. Maknanya apa? Maknanya nilai tambah mesti berlaku di Malaysia. Pekerjaan berkemahiran tinggi mesti diwujudkan di Malaysia. Teknologi pemprosesan mesti masuk ke Malaysia.
“Kita tidak lagi mahu menjadi negara yang hanya menggali dan menghantar keluar bahan mentah murah, seperti masa silam,” katanya.
Zafrul berkata, kerajaan menggalakkan kerjasama antara pemain tempatan dan asing dalam membangunkan sektor REE bagi memperkukuh industri domestik.
Beliau turut berkata, Putrajaya mengalu-alukan kerjasama strategik dengan AS dan negara lain dalam membangunkan industri REE tempatan, terutamanya melalui potensi kerjasama tiga hala yang melibatkan Malaysia, AS, dan Australia.
“Kalau ada apa-apa pembangunan sumber strategik negara, ia akan berlaku mengikut undang-undang Malaysia, di
tanah Malaysia, dengan kawalan kedaulatan Malaysia. Bukan sesuka hati mengikut kehendak pelabur asing.”