
Pemerhati hubungan antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof, berkata PAS dilihat keliru antara idealisme politik dan realiti diplomasi apabila mengiktiraf kepentingan hubungan ekonomi serta geostrategik, tetapi mengkritik sambutan rasmi terhadap Trump.
“Dalam dunia diplomasi, menghormati dan meraikan tetamu antarabangsa bukan tanda tunduk, tetapi lambang adab, kematangan dan kebijaksanaan sesebuah negara.
“Seperti negara lain, Malaysia berpegang kepada prinsip menghormati tetamu dan mematuhi protokol rasmi apabila menerima pemimpin luar,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata kehadiran Trump perlu dilihat dalam kerangka hubungan ekonomi, diplomatik dan geostrategik, namun tanpa mengetepikan pendirian Malaysia terhadap isu Palestin.
Namun, pada masa sama PAS turut mempertikaikan sambutan besar-besaran terhadap Trump dan menganjurkan demonstrasi membantah kehadirannya.
Takiyuddin merujuk sambutan meriah ketibaan Trump ke Malaysia, Ahad lalu, yang menarik perhatian apabila pemimpin kuasa besar itu secara spontan menari bersama kumpulan penari tradisional tempatan.
Trump ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 atas jemputan Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaku pengerusi Asean 2025. Beliau berlepas semalam untuk menuju ke Jepun bagi meneruskan lawatannya ke Asia.
Ashikin berkata, pendekatan bercanggah itu menjadikan mesej PAS tidak jelas.
“Mereka seolah-olah menerima kehadiran Trump, tetapi pada masa sama mengecam cara kerajaan menyambutnya,” katanya.
Menurutnya, tindakan Anwar meraikan kehadiran Trump tidak harus disalah tafsir sebagai sokongan terhadap dasar luar AS, sebaliknya mencerminkan kemampuan Malaysia mengurus hubungan antarabangsa secara berhemah dan strategik.
Ashikin berkata, walaupun kritikan PAS mungkin berpunca daripada keprihatinan terhadap nasib rakyat Palestin, dari sudut diplomasi ia dilihat terlalu sempit.
“Pendekatan beradab jauh lebih berkesan daripada tindakan emosi atau simbolik yang boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai negara sederhana dan matang,” katanya sambil menambah saranan PAS agar hubungan perdagangan dibina atas dasar keadilan adalah wajar.
Sementara itu, pakar geostrategik Azmi Hassan menegaskan pendirian Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin tidak pernah berubah walaupun kerajaan memberi sambutan baik kepada Trump.
Katanya, PAS cuba menimbulkan persepsi seolah-olah kerajaan mengetepikan isu Palestin hanya kerana memberi layanan mesra kepada presiden AS itu.
“Yang penting bagaimana perdana menteri menyampaikan pendirian Malaysia kepada Trump mengenai Gaza. Dasar kita jelas bertentangan dengan dasar White House.
“Kita kekal menuntut penyelesaian dua negara yang adil dan berkekalan,” katanya.