Prabowo pulang awal bukan sebab kesilapan RTM, kata duta besar

Prabowo pulang awal bukan sebab kesilapan RTM, kata duta besar

Hermono memetik jurucakap Kementerian Luar Negeri Indonesia menyatakan presiden Indonesia pulang ke Jakarta semalam kerana ‘agenda padat domestik’.

Prabowo Subianto
Media Indonesia melaporkan Presiden Indonesia Prabowo Subianto asalnya merancang untuk hadir sepanjang tempoh Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan mesyuarat berkaitan, yang berakhir hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Duta Besar Indonesia, Hermono, menolak keras khabar angin bahawa Presiden Prabowo Subianto memendekkan lawatannya ke Malaysia pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 akibat kesilapan pengulas RTM yang menyebut dirinya sebagai bekas presiden, Joko Widodo.

Hermono memberitahu FMT, bahawa jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Yvonne Mewengkang, ada menyatakan Prabowo pulang ke Jakarta semalam kerana ‘agenda padat domestik’.

“Ia tiada kaitan langsung dengan kesilapan sebutan namanya oleh pengulas (RTM),” kata Hermono.

Pada Ahad, Badan Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia memohon maaf susulan kesilapan pengulas RTM merujuk Prabowo sebagai pendahulunya, Widodo, ketika siaran langsung liputan Sidang Kemuncak Asean ke-47, di Kuala Lumpur.

RTM berkata, pihaknya akan terus meningkatkan kawalan editorial dan semakan fakta bagi memastikan setiap maklumat disampaikan adalah tepat serta berintegriti.

Satu rakaman siaran langsung menunjukkan Prabowo tiba di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) untuk sidang kemuncak tersebut, di mana beliau disambut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut laporan The Jakarta Post, walaupun Prabowo pada awalnya merancang hadir sepanjang tempoh sidang kemuncak tiga hari itu, beliau memutuskan memendekkan lawatannya petang semalam selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean-Korea Selatan ke-26, Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga ke-28, dan majlis resepsi bagi memperingati kemasukan Timor-Leste dalam kumpulan serantau itu.

Selepas keberangkatan pulang Prabowo, beliau diwakili beberapa menteri Kabinetnya, termasuk Menteri Luar Negeri Sugiono dan Menteri Penyelaras Ekonomi Airlangga Hartarto.

Prabowo hadir Sidang Kemuncak Asean-AS pada Ahad, di mana Presiden AS Donald Trump sekali lagi mengesahkan komitmen Washington terhadap Indo-Pasifik selepas menyatakan AS ‘100%’ menyokong Asia Tenggara.

Berucap pada Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga ke-28, yang menghimpunkan negara Asean dengan China, Jepun, dan Korea Selatan, Prabowo menyeru kerjasama lebih lanjut dan meminta persaingan serantau kekal ‘kontruktif’ di tengah-tengah ketidakpastian global yang semakin meningkat, lapor The Jakarta Post.

Semasa pemukiman pemimpin Asean, Prabowo menyeru blok itu mengambil langkah lebih konkrit bagi menangani krisis serantau, termasuk krisis politik yang berterusan di Myanmar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.