
Dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Asean-China ke-28 hari ini, Li memberi amaran rantau ini berisiko berpecah sekiranya gagal mengekalkan kesepakatan di tengah-tengah pengaruh pihak luar yang semakin meningkat.
“Perlindungan ekonomi secara unilateral telah menjejaskan sistem perdagangan global. Campur tangan kuasa luar semakin ketara, dan banyak negara dikenakan tarif yang tidak munasabah.
“Jika kita tidak bersatu dan sebaliknya membentuk kelompok kecil ketika berdepan politik kuasa besar serta tekanan ekonomi, kita bukan sahaja tidak akan mendapat manfaat, malah akan dipecah dan ditundukkan oleh pihak luar,” katanya.
Li menegaskan hanya melalui perpaduan, rantau ini dapat melindungi kepentingan jangka panjangnya.
Beliau turut mengulangi komitmen Beijing untuk terus bekerjasama dengan Asean dalam memperkukuh sinergi serantau dan mengekang pengaruh luar.
Awal tahun ini, Amerika Syarikat memperkenalkan tarif asas sebanyak 10% terhadap hampir semua negara bermula 5 Apr, di samping mengenakan tarif tambahan terhadap negara atau sektor yang dianggap mempunyai kelebihan perdagangan tidak seimbang dengan Washington.
Sebagai tindak balas, China mengenakan tarif balas yang tinggi ke atas barangan AS serta melaksanakan kawalan eksport dan sekatan perdagangan, menyebabkan hubungan ekonomi kedua-dua negara tegang.
Beberapa negara Asean turut menerima kesan dengan kadar tarif antara yang tertinggi di dunia – termasuk Kemboja (49%), Vietnam (48%), dan Laos (46%), manakala Malaysia dikenakan tarif sebanyak 24%.
Selepas rundingan dijalankan, kadar tarif semasa diturunkan kepada sekitar 20% bagi Vietnam dan 19% bagi Kemboja, manakala Laos masih berdepan kadar tinggi sekitar 40% berikutan kemajuan rundingan yang perlahan.
Hasil rundingan diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, turut menyaksikan penurunan tarif terhadap eksport Malaysia daripada 25% kepada 19%.