Malaysia serah kepengerusian Asean kepada Filipina

Malaysia serah kepengerusian Asean kepada Filipina

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan penghormatan buat Malaysia untuk mengetuai proses peralihan dan menyerahkan secara simbolik kerusi pengerusi Asean kepada Filipina.

Anwar Ibrahim dan Ferdinand Marcos Jr pada majlis penutup Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr menerima tukul simbolik pengerusi Asean daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menandakan bermulanya peralihan tanggungjawab negara itu sebagai pengerusi pada tahun depan.

Anwar berkata Malaysia berbesar hati dapat mengetuai peralihan itu dan menyerahkan secara rasmi kerusi pengerusi kepada Filipina, yang akan mengambil alih sepenuhnya peranan tersebut mulai 1 Jan 2026.

“Malaysia berbangga menjadi tuan rumah kepada pemimpin Asean untuk perbincangan yang mendalam dan penuh makna,” kata Anwar pada majlis penutup Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan mesyuarat berkaitan di sini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua negara anggota, rakan dialog, serta Sekretariat Asean atas komitmen, kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh ini.”

Marcos turut melancarkan logo dan tema rasmi pengerusian Filipina, iaitu ‘Navigating Our Future Together’ atau ‘Membentuk Masa Depan Bersama’.

Beliau turut memuji kepimpinan Malaysia telah mengemudi Asean dengan jelas dan berprinsip.

“Malaysia menunjukkan Asean mampu melangkah lebih jauh apabila visi digandingkan dengan tindakan yang realistik.

“Filipina berbesar hati mengambil tanggungjawab memimpin Asean pada tahun 2026,” katanya.

Beliau berkata di bawah pimpinan Filipina, Asean akan terus memperkukuh asas keamanan dan keselamatan, di samping memperluaskan kerjasama ekonomi dan meningkatkan pemberdayaan rakyat.

Marcos turut menekankan tempoh pengerusian Filipina tahun depan juga bertepatan dengan ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Perjanjian dimeterai pada 1976 itu menjadi asas kepada komitmen Asean untuk menghormati kedaulatan negara anggota, mengelakkan campur tangan, serta menyelesaikan pertikaian secara aman.

Ketika ini, sebanyak 58 negara telah menandatangani TAC, termasuk Finland yang menjadi penandatangan terbaharu minggu lalu, sebelum bermulanya Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.