
Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal turut menggelar Anwar sebagai ‘superhero Malaysia dan Asean’ atas usaha menjalinkan hubungan diplomasi dengan Amerika Syarikat (AS) dan menyuarakan isu Palestin di hadapan delegasi Asean.
“Syabas dan tahniah perdana menteri. Anda benar-benar superhero Malaysia dan superhero Asean,” katanya sambil mengangkat poster ‘Anwar Superhero Asean’ di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2026.
Mengulas lanjut, Syed Hussin menyifatkan kejayaan Anwar bukan perkara kecil kerana percaya Malaysia telah ‘menggegarkan’ pentas global dengan dasar diplomasi matang dan bijaksana.
Katanya, keakraban Anwar dengan Presiden AS, Donald Trump menjadi simbol keutuhan diplomasi Malaysia yang akan dihormati oleh kuasa besar dunia lain seperti China dan Rusia.
“(Malaysia) berjaya ‘minimize the enemy, strengthen international relationships’.
“Tegas memperjuangkan kebebasan Gaza dan Palestin di hadapan delegasi Asean, pemimpin Barat dan kuasa dunia. Perdana menteri berani bersuara bagi pihak mereka yang tertindas, suara Malaysia menjadi suara kemanusiaan sejagat,” katanya.
Syed Hussin turut memuji Malaysia yang menjadi arkitek perdamaian serantau antara Thailand dan Kemboja.
“Perdana menteri berjaya menyatukan dan menghentikan peperangan antara Thailand dan Kemboja, disaksikan sendiri oleh kuasa-kuasa besar dunia di Kuala Lumpur.
“Detik ini bukan sekadar sejarah diplomasi ia mengangkat Malaysia sebagai ‘peacemaker’ sejati rantau Asean,” katanya.