
Trump berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.06 pagi selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di ibu negara, yang menyaksikan beberapa perjanjian dimeterai.
Antaranya termasuk perjanjian perdagangan dengan Kemboja dan Thailand selepas kedua-dua negara jiran itu memeterai perjanjian damai di luar Sidang Kemuncak Asean yang turut disaksikan Trump, selain perjanjian untuk memperluas akses pasaran dengan Malaysia.
Sejurus tiba di Tokyo, Trump dijadualkan menghadap Maharaja Jepun, disusuli pertemuan dengan perdana menteri baharu, Sanae Takaichi, esok.
Tumpuan utama jelajah itu dijangka terarah di Korea Selatan, di mana Trump akan bertemu Xi di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) bagi membincangkan pertikaian perdagangan yang berterusan.
Pertemuan ini akan menjadi yang pertama antara kedua-dua pemimpin itu sejak Trump kembali menerajui White House pada Januari.
Pasaran global dijangka memberi tumpuan penuh terhadap pertemuan Trump-Xi pada Khamis bagi melihat sama ada perang perdagangan yang dicetuskan oleh tarif meluas Trump boleh dileraikan.
Trump, yang dijadualkan tiba di bandar pelabuhan selatan Busan pada Rabu, turut akan bertemu Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung.