Rakyat sokong Bersatu kerana Muhyiddin bukan Hamzah, kata Tun Faisal

Rakyat sokong Bersatu kerana Muhyiddin bukan Hamzah, kata Tun Faisal

Ketua penerangan Bersatu itu tegaskan pengalaman dan konsistensi Muhyiddin Yassin menjadi faktor utama tarik kepercayaan rakyat.

Muhyiddin Yassin
Tun Faisal Ismail Aziz berkata dapatan Kajian Institut MASA pada Julai lalu menunjukkan Muhyiddin Yassin kekal sebagai antara tokoh politik paling dipercayai rakyat.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu mendakwa sokongan terhadap parti itu dan pembangkang disebabkan Presidennya Muhyiddin Yassin bukan dipengaruhi kelompok tertentu termasuk timbalan presiden Hamzah Zainudin.

Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata keadaan berkenaan berlaku disebabkan pengalaman, kewibawaan dan konsistensi pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Bukan kerana Saifuddin Abdullah, Hamzah atau kumpulan mereka, tetapi kerana kepimpinan Muhyiddin,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Saifuddin yang mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai presiden Bersatu dengan mendakwa bekas perdana menteri itu sudah kehilangan kualiti kepimpinan, sebagaimana dimiliki ketika awal menubuhkan parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu mendakwa cara Muhyiddin menguruskan kepimpinan tertinggi parti tidak lagi inklusif, termasuk kegagalan mengadakan mesyuarat badan tertingginya.

Gesaan sama juga dibuat Bersatu Dungun semalam, yang turut menuntut Setiausaha Agung Azmin Ali digugurkan, susulan pertelingkahan terbuka antara beberapa pemimpin tertinggi parti itu.

Pertelingkahan parti itu menyaksikan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dipecat manakala Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung sepenggal.

Sementara itu, Tun Faisal turut memetik dapatan Kajian Institut MASA pada Julai lalu yang menunjukkan Muhyiddin kekal sebagai antara tokoh politik paling dipercayai rakyat dalam dua kategori penting — tahap kepuasan prestasi kepimpinan dan pilihan calon perdana menteri.

Dalam kategori kepuasan kepimpinan, Muhyiddin mendahului senarai dengan 41% responden berpuas hati dengan prestasinya, diikuti Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein (33%) dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim (30%).

Bagi kategori pilihan calon perdana menteri, Muhyiddin juga mengungguli dengan sokongan 33% responden, diikuti Anwar (26%) dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar (22%).

Menurut Tun Faisal, angka ini menunjukkan kepercayaan rakyat terhadap Muhyiddin masih kukuh, berbeza dengan dakwaan pihak tertentu yang cuba menggambarkan sebaliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.