Perjanjian dagangan AS hakis kawalan ekonomi negara, kata Azmin

Perjanjian dagangan AS hakis kawalan ekonomi negara, kata Azmin

Setiausaha Agung PN berkata, perjanjian wajibkan Malaysia turuti sebarang sekatan atau sanksi yang dikenakan AS ke atas negara lain.

mohamed azmin ali
Setiausaha Agung PN Azmin Ali berkata, perjanjian perdagangan dimeterai Malaysia dengan AS semalam gugat dasar berkecuali yang sekian lama jadi tunjang kekuatan negara.
PETALING JAYA:
Perjanjian perdagangan yang dimeterai Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) semalam akan menjejaskan kedaulatan ekonomi negara kerana ia memaksa Putrajaya akur pada peraturan Washington berhubung perdagangan dan pelaburan, kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali.

Azmin, yang juga bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, menyifatkan salah satu fasal paling memudaratkan dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS adalah peruntukan yang mewajibkan Malaysia menuruti sebarang sekatan perdagangan atau sanksi yang dikenakan AS ke atas negara lain.

“Sekiranya Washington membuat keputusan menyekat kemasukan import dari China atau Rusia, Malaysia diwajibkan berbuat demikian, sekalipun ia akan merugikan ekonomi kita,” kata Azmin dalam kenyataan hari ini.

“Klausa ini (Artikel 5.1) memaksa Malaysia memihak dalam kancah pertelingkahan pihak lain dan melenyapkan dasar berkecuali yang sekian lama menjadi tunjang kekuatan kita.

“Tindakan menyelaraskan dasar Malaysia agar seiring dengan keputusan AS ini berisiko menyebabkan para pelabur menjauhkan diri, khususnya mereka yang menghargai peranan Malaysia sebagai rakan kongsi yang neutral dan stabil di rantau ini.”

Malaysia dan AS semalam memeterai satu perjanjian perdagangan timbal balas yang komprehensif, menyasarkan pengukuhan hubungan ekonomi dua hala, peluasan akses pasaran serta pemerkasaan daya tahan rantaian bekalan.

Menerusi perjanjian itu, Malaysia memberikan komitmen untuk menyediakan akses pasaran keutamaan yang besar bagi eksport barangan perindustrian AS, merangkumi bahan kimia, jentera dan kelengkapan elektrik, logam dan kenderaan penumpang, selain eksport hasil pertanian seperti produk tenusu, ternakan ayam itik dan beras.

AS pula akan mengekalkan tarif timbal balas pada kadar 19% terhadap barangan Malaysia, dengan produk-produk terpilih akan menikmati kadar tarif sifar (0%) di bawah senarai rakan kongsi sejajar.

Malaysia juga tidak akan mengenakan larangan atau kuota ke atas eksport mineral penting atau unsur nadir bumi ke AS, dan akan menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat Amerika ‘bagi mewujudkan kepastian untuk perniagaan meningkatkan kapasiti pengeluaran’.

Berhubung perdagangan digital, Malaysia bersetuju untuk ‘tidak mengenakan cukai perkhidmatan digital yang bersifat diskriminasi terhadap syarikat AS’ dan ‘memastikan pemindahan data dapat dibuat merentasi sempadan yang dipercayai, berserta perlindungan yang bersesuaian’.

Dalam kenyataan sama, Azmin mendakwa perjanjian itu turut melucutkan kuasa Malaysia untuk mengawal selia pasarannya sendiri, kerana ia memaksa agensi-agensi tempatan untuk menerima pakai piawaian Amerika bagi makanan, ubat-ubatan dan kenderaan.

Azmin turut mendakwa perjanjian tersebut melemahkan sistem pensijilan halal Malaysia apabila ia mengiktiraf badan-badan pensijilan dari luar negara.

“Manfaat jangka pendek yang ada tidak setimpal jika dibandingkan dengan kemudaratan jangka panjang,” katanya.

“Pelaksanaan perjanjian ini bukan sahaja tidak akan mengukuhkan Malaysia, malah ia umpama penyerahan kedaulatan, dasar berkecuali dan masa depan ekonomi negara.”

Dalam pada itu, Presiden PN Muhyiddin Yassin menzahirkan kebimbangannya terhadap ‘sambutan keterlaluan’ yang diberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Presiden AS Donald Trump, sejurus ketibaannya semalam.

Trump kelihatan ceria selepas mendarat di KLIA, malah sempat menyertai persembahan kebudayaan dengan menari bersama Anwar sebelum kedua-dua pemimpin itu mengibarkan bendera Malaysia dan AS

Muhyiddin menyifatkan kemesraan Anwar bersama Trump mengguris perasaan rakyat Malaysia yang bersimpati dengan nasib rakyat Palestin, dalam pada ratusan penunjuk perasaan berhimpun bagi membantah kehadiran Trump susulan sokongan Washington terhadap tindakan Israel di Gaza.

“Trump ialah simbol keangkuhan dasar luar AS yang melindungi kekejaman rejim Zionis Israel. Menyambut tokoh seperti ini dengan keghairahan melampau adalah amat memalukan Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.