
“Eksport-eksport ini secara keseluruhannya berjumlah kira-kira USD5.2 bilion, atau kira-kira 12% daripada jumlah eksport Malaysia ke AS,” katanya pada sidang media mengenai perjanjian perdagangan timbal balik Malaysia-AS yang ditandatangani petang tadi.
AS akan mengekalkan tarif 19% ke atas barangan Malaysia, dengan produk tertentu diberikan kadar 0%, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas majlis tandatangan.
Menurut perjanjian itu, sejumlah 1,711 produk yang dieksport ke AS akan menikmati kadar tarif lebih rendah daripada 19%.
Sebelum ini dilaporkan Washington bersetuju untuk mempertimbangkan tarif sifar bagi komoditi terpilih, serta alat ganti automotif dan aeroangkasa, atas permintaan Malaysia semasa rundingan terdahulu.
Tengku Zafrul berkata komitmen Malaysia bawah perjanjian itu juga akan diambil kira oleh Washington, berkenaan keputusan yang dibuat bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan AS, yang boleh menjejaskan produk seperti semikonduktor.
Beliau juga berkata perjanjian itu akan memberi manfaat kepada industri Malaysia dengan menurunkan tarif import ke atas barangan AS, menjadikan produk berkualiti tinggi seperti peralatan perubatan, perkakasan IT dan alat ganti jentera lebih mampu milik untuk perniagaan dan pengguna.
“Contohnya, pelbagai import jentera canggih, komponen aeroangkasa, dan peralatan automasi dari AS boleh digunakan sebagai input untuk membantu pengeluar Malaysia meningkatkan kecekapan dan bergerak ke atas rantaian nilai industri, selaras dengan sasaran pelan induk perindustrian negara,” katanya.