Pemuda Bersatu gesa Saifuddin keluar parti ‘jika tak percaya presiden’

Pemuda Bersatu gesa Saifuddin keluar parti ‘jika tak percaya presiden’

Pemuda Bersatu gesa lembaga disiplin segera ambil tindakan tegas susulan serangan terbuka terhadap Muhyiddin Yassin.

Harris Idaham Rashid menyifatkan desakan sebagai niat jahat bagi merosakkan parti, serta bermotifkan kepentingan peribadi dan kelompok tertentu.
PETALING JAYA:
Pemuda Bersatu menggesa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Saifuddin Abdullah meninggalkan parti jika hilang kepercayaan terhadap Presiden Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan Harris Idaham Rashid menyifatkan desakan dibuat Saifuddin sebagai niat jahat bagi merosakkan parti, serta bermotifkan kepentingan peribadi dan kelompok tertentu.

“Serangan secara terbuka begini sudah pun menzahirkan niat dan motif disebaliknya.

“Justeru, Pemuda Bersatu menggesa parti melalui lembaga disiplin mengambil tindakan tegas dan segera tanpa perlu menunggu aduan, siasatan dan pendengaran yang panjang.

“Lebih baik Saifuddin tinggalkan parti sekiranya hilang kepercayaan terhadap presiden,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tiada individu lebih besar berbanding parti maka mereka yang mengulangi tingkah laku mengancam kestabilan parti dianggap sebagai pengkhianat dan harus disingkirkan segera.

Terdahulu, Saifuddin dilaporkan mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai presiden Bersatu dengan mendakwa bekas perdana menteri itu sudah kehilangan kualiti kepimpinan, sebagaimana dimiliki ketika awal menubuhkan parti.

Katanya, cara Muhyiddin menguruskan kepimpinan tertinggi parti tidak lagi inklusif dan ia termasuk kegagalan dalam mengadakan mesyuarat MPT.

Gesaan sama juga dibuat Bersatu Dungun semalam, yang turut menuntut Setiausaha Agung Azmin Ali digugurkan, susulan pertelingkahan terbuka antara beberapa pemimpin tertinggi parti itu.

Ketua Bersatu Dungun, Abdul Aziz Ismail, berkata isu sedang dihadapi Bersatu kini berpunca daripada tindakan beberapa individu yang dilihat tidak lagi relevan dalam struktur pentadbiran parti.

Kenyataan Aziz dibuat sehari selepas Wan Saiful, yang baru-baru ini dipecat Bersatu, menyalahkan beberapa individu rapat dengan Muhyiddin kerana merosakkan hubungan dalam kalangan pemimpin — dengan menamakan Azmin dan Tun Faisal Ismail Aziz selaku ketua penerangan parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.