
Dalam ucapan pembukaannya di Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) hari ini, Anwar berkata ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing, menunjukkan kesediaan untuk berunding dengan Asean dalam pertemuan mereka.
Beliau berkata pemimpin junta bersetuju dengan syarat Asean bagi gencatan senjata dan menghentikan segera pengeboman selain membenarkan akses kemanusiaan tanpa halangan ke hospital medan Malaysia di Myanmar, yang berkhidmat untuk semua komuniti tanpa mengira etnik atau fahaman politik.
“Saya memuji jeneral kanan junta kerana bersetuju dengan syarat-syarat ini,” katanya.
Anwar berkata terdapat ‘kemajuan relatif’ sepanjang tahun lalu, walaupun masih berlaku beberapa insiden — namun tidak pada skala seperti sebelumnya.
“Kita mungkin tidak berkongsi pandangan yang sama dalam semua isu, tetapi saya menyeru rakan-rakan kita untuk terus berinteraksi dan meneruskan bantuan kemanusiaan,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa urusan dalaman Myanmar perlu ditangani melalui mekanisme nasionalnya sendiri, sambil memastikan dialog dengan semua pihak yang terlibat dalam konflik.
Beliau turut mengulangi sokongan Malaysia terhadap pelaksanaan 5PC, yang menyeru penghentian keganasan dan dialog inklusif antara semua pihak berkepentingan di Myanmar susulan rampasan kuasa tentera pada 2021.
Krisis perang saudara tercetus di Myanmar sejak tentera merampas kuasa pada 2021, menahan pemimpin demokratik Aung San Suu Kyi dan menggulingkan kerajaan awamnya.
Pada April tahun sama, pemimpin Asean meluluskan 5PC dalam sidang kemuncak tergempar, yang menggesa penghentian segera keganasan, dialog membina antara semua pihak bagi memulihkan keamanan dan kestabilan, serta penyampaian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.