Wan Saiful tuduh beberapa individu merosakkan hubungan

Wan Saiful tuduh beberapa individu merosakkan hubungan

Bekas ahli majlis tertinggi Bersatu itu menamakan Setiausaha Agung Azmin Ali dan Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz.

wan saiful wan jan
Wan Saiful Wan Jan dakwa beberapa individu yang rapat dengan presiden Bersatu merosakkan hubungan dalam kalangan pemimpin.
PETALING JAYA:
Wan Saiful Wan Jan, yang baru-baru ini dipecat oleh Bersatu, menuduh beberapa individu yang rapat dengan Presiden Muhyiddin Yassin merosakkan hubungan dalam kalangan pemimpin.

Bercakap dalam suatu perjumpaan dengan ahli, bekas ahli majlis tertinggi itu menamakan Setiausaha Agung Azmin Ali dan Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz.

“Jangan biarkan rakan-rakan kita dibuli oleh orang seperti Azmin, dan Tun Faisal,” katanya.

Wan Saiful berkata Bersatu perlu mengambil semula parti daripada mereka yang tidak dipilih secara demokratik, memberi amaran bahawa pengaruh individu tertentu yang semakin meningkat boleh menjauhkan pemimpin lain.

“Mereka tidak ada mandat daripada kita. Mereka dilantik ke jawatan mereka. Kita mesti ambil balik parti ini daripada mereka.”

Kenyataan Wan Saiful ini dibuat beberapa jam selepas Bersatu beri peringatan kepada ahli Bersatu untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk penganjuran, perjumpaan, dan perbincangan dengan individu yang dikenakan tindakan disiplin oleh parti.

Satu pekeliling oleh Setiausaha Agung Azmin Ali menyatakan adalah satu kesalahan jika mana-mana ahli bersubahat dengan pihak di luar parti, termasuk mereka yang dijatuhkan hukuman, untuk menghasut ahli dan membuat kenyataan yang mencemar nama baik parti.

Ini bukan kali pertama Wan Saiful menyerang kedua-dua pemimpin itu.

Sebelum pemecatannya, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu merujuk Azmin dan Tun Faisal kepada lembaga disiplin parti berhubung dakwaan ugutan yang dibuat terhadap ketua-ketua bahagian, yang dikaitkan dengan kononnya plot untuk menggulingkan Muhyiddin Yassin sebagai presiden.

Beliau juga pernah mendakwa Azmin tidak sesuai untuk memimpin parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.