Wan Saiful patut insaf atas ‘pengkhianatan’ lalu, kata Tun Faisal

Wan Saiful patut insaf atas ‘pengkhianatan’ lalu, kata Tun Faisal

Ketua penerangan Bersatu itu berkata bekas ahli majlis tertinggi itu sepatutnya fokus buat rayuan kepada Lembaga Rayuan.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz kata beliau mungkin mencadangkan kepada partinya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Wan Saiful Wan Jan.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata Wan Saiful Wan Jan sepatutnya bermuhasabah dan insaf atas pengkhianatan yang dilakukan, dan bukannya membuat dakwaan tidak benar terhadap parti.

Beliau berkata, bekas ahli majlis tertinggi itu juga sepatutnya fokus membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan.

“Lembaga Disiplin telah memecat beliau. Sepatutnya beliau bermuhasabah dan insaf atas setiap kesalahan dan pengkhianatan yang telah dilakukan.

“Sebaiknya dia fokus kepada membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan,” katanya kepada FMT.

Tun Faisal juga mencadangkan Wan Saiful berpindah ke parti lain jika Bersatu tidak lagi sesuai dengannya atau parti itu tidak lagi menerimanya atas tindakan yang melanggar perlembagaan dan peraturan Bersatu.

Semalam, Wan Saiful menamakan Tun Faisal serta Setiausaha Agung Azmin Ali antara beberapa individu yang rapat dengan Presiden Muhyiddin Yassin merosakkan hubungan dalam kalangan pemimpin.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Bersatu memberi peringatan kepada ahli Bersatu untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk penganjuran, perjumpaan dan perbincangan dengan individu yang dikenakan disiplin oleh parti.

14 Okt lalu, Bersatu menggantung keahlian ahli majlis tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan memecat Wan Saiful serta empat ketua bahagian.

Tindakan itu dipercayai berkait dakwaan penglibatan beberapa individu dalam ‘gerakan akuan berkanun (SD)’ yang bertujuan menjatuhkan Muhyiddin, serta peranan mereka dalam kekecohan yang berlaku semasa satu acara rasmi baru-baru ini.

Sementara itu, Tun Faisal berkata beliau mungkin mencadangkan kepada parti itu untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Wan Saiful dan Wan Fayhsal atas beberapa kenyataan dikeluarkan mereka.

“Ada beberapa dakwaan dibuat Wan Saiful dan Wan Fayhsal yang tidak benar serta merupakan satu fitnah kepada parti.

“Mungkin saya cadangkan parti mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.