
Badan pemantau antirasuah itu berkata struktur, skop dan garis masa bagi jawatankuasa bebas ditubuhkan FAM untuk menyiasat isu tersebut juga mesti didedahkan kepada umum.
“Ketelusan tidak boleh separuh jalan. Kedua, kebertanggungjawaban mesti ditegakkan tanpa mengira ke mana saja bukti itu bawa,” kata Presiden TI-M, Raymon Ram dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, jika ada individu dalam atau mempunyai kaitan dengan FAM yang membantu atau meluluskan dokumen palsu, mereka mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya tanpa mengira kedudukan.
Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa FAM mengambil tanggungjawab penuh terhadap kontroversi dakwaan penghantaran dokumen palsu kepada Fifa berkaitan tujuh pemain warisan.
Tunku Ismail turut menyatakan beliau tidak bersetuju dengan tindakan menggantung Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman bagi membolehkan jawatankuasa bebas menjalankan siasatan, sambil menambah bahawa ramai individu lain turut terlibat dalam proses menandatangani pemain-pemain berkenaan.
Jumaat lalu, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mengkritik cara FAM menangani skandal itu, sambil menyifatkannya sebagai tanda jelas kekurangan kebertanggungjawaban di peringkat tertinggi badan tersebut.
Fifa sebelum ini berkata, berbeza dengan dokumen dikemukakan oleh FAM — yang mendakwa datuk dan nenek kepada tujuh pemain terbabit dilahirkan di Malaysia — siasatannya mendapati rekod asal menunjukkan mereka sebenarnya dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil, dan Belanda.
Menurut C4, respons FAM terhadap skandal itu hanya menyalahkan ‘ralat teknikal’ oleh kakitangan pentadbiran, menggantung Noor Azman dan menubuhkan ‘jawatankuasa bebas’ yang belum dinamakan hampir sebulan selepas skandal itu terbongkar.
Raymon berkata, skandal itu menimbulkan kemarahan ramai kerana mencerminkan corak keputusan tidak telus, kelemahan institusi, serta keengganan untuk memikul tanggungjawab.
“Isunya bukan sekadar sama ada peraturan dilanggar, tetapi bagaimana mereka yang diberi amanah untuk menegakkannya bertindak balas. Bersikap defensif bukanlah bentuk kebertanggungjawaban,” katanya.
Beliau berkata, kuasa budi bicara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam pemberian kewarganegaraan sedemikian perlu diteliti semula dan kerangka naturalisasi atlet wajar dikaji serta diperbaharui.
“Kita perlu jelas — kontroversi ini bukan sekadar skandal sukan. Ia mencerminkan kelemahan sistemik, di mana peraturan boleh diputar belit, semakan teliti diabaikan, dan kebertanggungjawaban ditangguhkan,” katanya.