Pembangkang patut hargai Hajiji tegas lindungi sumber Sabah, kata Nizam

Pembangkang patut hargai Hajiji tegas lindungi sumber Sabah, kata Nizam

Ketua penerangan PGRS itu berkata biarpun berdepan ancaman, Hajiji tegas menghalang pihak luar ‘rakus’ mengeksploitasi sumber Sabah.

Hajiji Noor sentiasa buat keputusan utamakan rakyat Sabah termasuk dalam permohonan lesen mineral walaupun diancam ‘kartel’, menurut Nizam Abu Bakar Titingan. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Pembangkang sepatutnya menghargai dan berterima kasih kepada pentadbiran Sabah diketuai Hajiji Noor yang mempertahankan hasil bumi negeri itu daripada kerakusan orang luar, kata seorang pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).

Ketua Penerangannya Nizam Abu Bakar Titingan berkata fakta menunjukkan Hajiji telah membatalkan lesen perlombongan mineral oleh ahli perniagaan kontroversi Albert Tei yang dimohon menggunakan 20 syarikat.

“Beliau tegas sebab itu batalkan semua lesen diurus kartel Tei ini kerana ingin memastikan kepentingan negeri dan rakyat terus terpelihara berbanding diri sendiri atau politiknya.

“Walaupun diugut dan ditohmah pelbagai fitnah, namun hakikatnya beliau penyelamat kepada hasil bumi dan Sabah sebenarnya,” katanya dalam temu bual dengan FMT.

Menurutnya, Hajiji dan kerajaan Sabah juga tidak menyembunyikan apa-apa dalam isu itu, malah membuat laporan kepada polis selain tidak mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tetapi tindakan itu tidak dihargai pembangkang yang lebih berminat menjatuhkan kerajaan daripada mempertahankan kepentingan rakyat.

“Mereka tidak ikhlas menyokong usaha ketua menteri untuk melindungi negeri daripada pihak mahu ambil hasil bumi tanpa ikut undang-undang,” katanya.

Tei dalam sebuah program audio siar,baru-baru ini mengakui Hajiji telah menarik lesen perlombongan mineral kerana ‘jumlahnya yang terlalu banyak’

Tegas Nizam, Umno dan Warisan sepatutnya berterima kasih kepada Hajiji kerana menolak permohonan pihak disyaki terlibat dalam kartel perlombongan itu.

“Difahamkan, Hajiji pernah diugut sebelum video-video rakaman itu disebar. Ugutannya jelas – kalau lesen diluluskan, mereka akan sokong kerajaan. Kalau tidak, mereka akan jatuhkan Hajiji,” katanya.

Beliau berkata tekanan itu menunjukkan betapa besarnya pengaruh kumpulan berkenaan, namun Hajiji kekal tegas mempertahankan Sabah.

“Kartel ini bukan kecil. Ada bekas pegawai tinggi kerajaan di belakangnya… tapi Hajiji tidak tunduk, malah membatalkan semua lesen terlibat,” katanya sambil menyatakan ketegasan itu menunjukkan Hajiji mengutamakan rakyat daripada kepentingan diri atau politik.

“Tindakan beliau menunjukkan nilai kepimpinan sejati. Hajiji tidak fikir tentang kuasa atau kedudukan, tapi tentang nasib rakyat Sabah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.