Asean tarik pengasas BRICS tanda perpaduan negara Selatan

Asean tarik pengasas BRICS tanda perpaduan negara Selatan

Pakar berkata kehadiran semua lima negara asal BRICS pada Sidang Kemuncak Asean menjadi paparan simbolik kuasa walaupun ia tidak formal.

BRICS ketika terdiri 10 ahli — Brazil, China, Mesir, Ethiopia, India, Indonesia, Iran, Rusia, Afrika Selatan, dan UAE. Malaysia menyertai sebagai rakan kongsi pada tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kepengerusian Malaysia menarik pujian bekas diplomat kanan dan seorang penganalisis kerana membawa semua lima negara pengasas BRICS ke pentas sama pada Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Ia juga dilihat sebagai penghimpunan yang jarang berlaku bagi negara-negara Selatan.

Bekas pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Singapura, Ilango Karuppannan, berkata kehadiran Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa dan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva menjadikan perhimpunan itu signifikan dari segi simbolik.

“Aspek visual sangat penting. Ia kelihatan seperti Asean dan BRICS berkongsi pentas di sini,” katanya kepada FMT.

Ahli pengasas BRICS ialah Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan. Gagasan berkenaan sejak itu menambah lima ahli penuh, iaitu Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iran, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Malaysia dijadikan negara rakan kongsi pada akhir tahun lalu.

Felo kanan dan penyelaras Pusat Kajian Asean di Institut ISEAS–Yusof Ishak Singapura, Joanne Lin, berkata langkah itu mencerminkan tahap diplomasi Malaysia dan peranan Asean yang sentiasa berubah sebagai penghubung antara blok global.

“Brazil dan Afrika Selatan mewakili pemimpin dalam negara-negara Selatan, dan ini sangat sejajar dengan keutamaan Malaysia juga,” katanya.

Katanya, kehadiran mereka menyerlahkan profil Asean yang semakin berkembang sebagai antara platform di mana kuasa-kuasa dari Utara dan Selatan duduk bersama.

Lin berkata, langkah itu bersesuaian dengan peralihan lebih luas di negara-negara Selatan, di mana negara membangun semakin mencabar sistem ekonomi yang dilihat berat sebelah terhadap kuasa Barat.

“Memandang ke hadapan, saya berpendapat Asean berada pada kedudukan unik untuk bertindak sebagai penghubung antara negara-negara Utara dan negara-negara Selatan,” katanya sambil menyatakan peranan blok itu dalam menghubungkan ekonomi maju seperti Jepun, Korea Selatan, dan Kesatuan Eropah (EU) dengan rantau membangun seperti Asia Selatan, Afrika, dan negara Teluk.”

Walaupun penyertaan Brazil dan Afrika Selatan kekal tidak formal, Lin berkata ia masih mampu mempengaruhi perbincangan yang lebih luas dalam BRICS dan G20, memandangkan Afrika Selatan kini merupakan presiden G20.

Dalam nada sama, Ilango berkata bahawa simbolisme itu adalah penting walaupun BRICS itu sendiri tidak dibincangkan secara rasmi.

“Saya rasa penghargaan harus diberikan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana telah memikirkan untuk menjemput mereka sebagai tetamu. Itu adalah dinamik yang menarik,” katanya.

Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Mesyuarat Berkaitan sedang berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt di bawah kepengerusian Malaysia bertemakan ‘Inklusiviti dan Kelestarian’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.