
Satu pekeliling oleh Setiausaha Agung Azmin Ali menyatakan adalah satu kesalahan jika mana-mana ahli bersubahat dengan pihak di luar parti, termasuk mereka yang dijatuhkan hukuman, untuk menghasut ahli dan membuat kenyataan yang mencemar nama baik parti.
Azmin berkata tindakan bersekongkol dengan individu yang dijatuhkan hukuman melanggar perlembagaan parti dan tatakelakuan ahli.
“Sebarang kesalahan atau salahlaku atau pelanggaran peruntukan perlembagaan parti oleh mana-mana ahli Bersatu akan diambil tindakan yang tegas,” menurut pekeliling bertarikh hari ini, yang dialamatkan kepada ketua-ketua parti peringkat negeri dan bahagian.
Dokumen itu tidak menamakan sesiapa secara khusus, namun Bersatu menggantung Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan memecat Wan Saiful Wan Jan, kerana melanggar perlembagaan parti dan kod etika dan tatakelakuan ahli.
Lembaga disiplin Bersatu juga memecat empat ketua bahagian; Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya), Faizal Asmar (Pengerang), Fadhli Ismail (Ipoh Timur), dan Isa Saidi (Ampang).
Ketika dihubungi, Adun Dr Afif Bahardin mengesahkan kesahihan pekeliling tersebut yang kini tersebar di media sosial.