
Exco PSM Perak K Kunasekaran berkata parti itu wajar mempertimbangkan pembentukan pakatan pilihan raya dengan mana-mana gabungan politik, termasuk PN sekiranya ia dapat membuka ruang yang lebih luas untuk memperjuangkan agenda rakyat di Parlimen dan DUN.
“Walaupun prinsip perjuangan untuk rakyat pekerja dan keadilan sosial kekal sebagai teras PSM, parti ini tidak boleh terus terasing daripada dinamika kuasa politik yang menentukan dasar negara.
“Kini hanya terdapat dua gabungan utama dalam politik negara, dan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang sudah lama tidak menghormati PSM. Maka, sudah tiba masanya PSM menerima jemputan kerjasama dengan PN,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Kunasekaran turut menyambut baik kehadiran Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvam dalam mesyuarat pertama bersama PN dan menyifatkannya sebagai pendekatan bijak serta matang.
Katanya, dalam suasana rakyat masih tertekan dengan pelbagai masalah dan polisi anti-rakyat oleh kerajaan, langkah bekerjasama dengan PN adalah wajar dan tepat pada masanya bagi memperkukuh suara rakyat di gelanggang politik.
“Jika PSM menghadapi PH pada PRU akan datang bersama PN, pentas ini digunakan untuk menyedarkan rakyat tentang polisi-polisi kerajaan yang tidak melaksanakan apa yang mereka janjikan sebelum ini.
“Hanya PSM sahaja yang boleh membongkarkan hakikat ini kepada rakyat. Tetapi demi perjuangan rakyat, PSM mesti berani melangkah ke hadapan dengan satu semangat dan slogan yang jelas,” katanya.
Katanya lagi, PSM mempunyai prinsip yang tidak berubah dan membentuk pakatan pilihan raya ini adalah satu pakatan taktikal demi memastikan suara rakyat terus hidup dalam arus politik negara.