
Himpunan ini berlatarkan konflik di Palestin, dengan peserta melaungkan slogan mengkritik persekongkolan AS dengan rejim Israel.
Seusai solat Jumaat, peserta himpunan anjuran Pemuda PAS itu berarak dari Menara Tabung Haji sambil membawa sepanduk dan plakad, dengan iringan slogan, untuk menyerahkan memorandum bantahan.
Selain pemimpin PAS, turut kelihatan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair, Muhammad Rafique Rashid Ali; dan aktivis Tian Chua.
“Hari ini kami ingin Trump tahu yang dia tidak dialu-alukan ke Malaysia ketika negaranya masih menyokong pembunuhan rakyat di Gaza,” kata Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden, dalam ucapan kepada peserta di luar kedutaan.
Pada sidang media, Afnan menjelaskan hasrat menyerahkan memorandum membantah kedatangan Trump dan sokongan AS kepada rejim Israel tidak kesampaian. Katanya, memorandum diberi kepada polis untuk diserahkan namun tiada wakil kedutaan tampil untuk terima.
Polis yang mengawal keselamatan sepanjang tunjuk perasaan menganggarkan kira-kira 700 peserta berdemo petang tadi.
Ketua Polis Wangsa Maju, Lazim Ismail berkata, perhimpunan berlangsung terkawal tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Trump dijadual tiba di Malaysia pada Ahad, bagi menyertai pemimpin-pemimpin negara lain untuk sidang serantau yang ke-47.
Malaysia selaku pengerusi blok 10 negara akan menjadi tuan rumah acara yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt.