Tumpuan ke Asean, Indo-Pasifik bulan ini

Tumpuan ke Asean, Indo-Pasifik bulan ini

Asean dan kuasa pertengahan kini dilihat mampu memimpin, menjamin kestabilan dan memperkukuh kerjasama susulan peningkatan risiko geopolitik.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Mohamad Hasan akan mengetuai agenda Malaysia pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sidang Kemuncak Asean ke-47 dijadualkan dari 25 hingga 28 Okt dijangka menjadi detik penting dalam usaha membentuk semula peranan Indo-Pasifik dalam susunan dunia yang sedang berubah.

Rantau ini yang menjadi kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), China, India, Jepun dan Rusia berkumpul dalam sidang itu dilihat muncul sebagai paksi geopolitik abad ke-21.

Sebelum ini, tadbir urus global banyak diterajui Barat, dengan Geneva menjadi tuan rumah kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan New York menempatkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun kini pusat graviti global kini bergerak ke timur, dengan perdagangan, teknologi, tenaga, keselamatan dan rantaian bekalan tertumpu di rantau Indo-Pasifik.

Pusat graviti dunia

Indo-Pasifik yang menjadi tumpuan empat ekonomi terbesar dunia – AS, China, India dan Jepun – turut menempatkan hampir dua pertiga daripada penduduk dunia.

Rantau ini menjana 62% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan mengendalikan hampir separuh daripada keseluruhan perdagangan antarabangsa, yang disokong laluan maritim strategik seperti Laut China Selatan, Selat Melaka dan laluan penting lain merentasi Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.

Namun, apabila persaingan antara AS dan China semakin meningkat, risiko pertembungan kuasa besar, perpecahan sistem politik dan ekonomi, serta konfrontasi proksi turut meningkat.

Peranan Asean dalam dunia terbahagi

Keupayaan Asean menghimpunkan pelbagai pihak menjadikannya pihak neutral boleh dipercayai.

Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan menekankan perkara itu ketika Perhimpunan Agung PBB pada September lalu dengan menyatakan bahawa Asean ‘tidak berdiam diri’ apabila konflik serantau mengancam kestabilan.

“Laut China Selatan tidak boleh dijadikan alat persaingan strategik. Asia Tenggara dan perairannya tidak boleh menjadi pentas persaingan antara kuasa besar,” katanya sambil menegaskan hak Asia Tenggara untuk menentukan nasibnya sendiri.

Sidang kemuncak yang akan datang ini diadakan ketika kepercayaan terhadap institusi global semakin berkurangan, dan mekanisme serantau perlu mengisi kekosongan ditinggalkan WTO dan Majlis Keselamatan PBB.

Dalam wawancara bersama FMT, Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon menegaskan negara kecil seperti New Zealand dan Malaysia tidak mampu untuk hanya berpeluk tubuh ketika persaingan geopolitik semakin meningkat.

“Masa depan kita sebenarnya berada di rantau Indo-Pasifik. Sistem antarabangsa berasaskan peraturan yang telah memberi manfaat besar kepada negara Asean selama 70 atau 80 tahun kini sedang runtuh. Apa yang kita lihat semakin jelas ialah kekuatan dan kuasa menjadi lebih penting daripada peraturan.

“Saya percaya, ini peluang besar untuk kita mengukuhkan semula sistem berasaskan peraturan itu,” katanya.

Luxon menambah Asean, Kesatuan Eropah (EU) dan blok perdagangan seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) memainkan peranan penting dalam membentuk kerjasama ketika tekanan pasaran global semakin meningkat.

Sidang kemuncak bentuk susunan baharu

Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan kuasa besar dunia termasuk Presiden AS Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang dan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni, bersama wakil daripada semua negara anggota BRICS dan BRICS+.

Walaupun model serantau Asean berdepan tekanan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia masih kekal sebagai salah satu platform penting di mana kuasa besar yang bersaing terus berunding dan berinteraksi.

Tema Malaysia sebagai pengerusi Asean– “Keterangkuman dan Kelestarian” – menumpukan kepada hasil boleh dilaksanakan seperti Sidang Asean-GCC-China, Visi Komuniti Asean 2045, Pasukan Petugas Geoekonomi Asean, Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital, serta penyertaan Timor-Leste ke blok berkenaan.

Penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Asha Hemrajani, memberitahu FMT mengenai potensi ekonomi rantau ini.

“Ekonomi digital kolektif Asean boleh mencapai nilai antara USD$1 trilion hingga USD$2 trilion apabila Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital dimuktamadkan,” katanya.

Ketua Majlis Penasihat Perniagaan Asean (ABAC), Nazir Razak, pula menegaskan kepentingan masa sekarang.

“Ketika susunan dunia baharu mula terbentuk, cara kita bertindak dalam beberapa tahun akan datang amat penting,” katanya.

Peranan Malaysia, peluang untuk Asean

Bagi Malaysia, menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ke-47 bukan hanya tentang mengetuai Asean, tetapi juga memastikan perpaduan rantau Indo-Pasifik di tengah-tengah ketidaktentuan global.

Asean menjadi platform utama di mana kuasa besar dapat berunding manakala rantau Indo-Pasifik pula sebagai medan di mana peraturan – atau ketiadaannya – akan membentuk hala tuju jangka panjang.

Walaupun sidang kemuncak ini mungkin tidak akan mengubah sistem tadbir urus global secara menyeluruh, ia menjadi ujian kepada keupayaan Asean menyatukan, menyelaras dan mengurangkan risiko dalam dunia bergolak.

Dalam rantau di mana pertaruhannya sangat tinggi, keupayaan blok ini untuk mengekalkan kerjasama tidak pernah sepenting ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.