
Keterangan diberikan saksi kanak-kanak ke-20, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, pada hari ke-27 prosiding inkues kematian Zara Qairina, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Berkongsi keterangan saksi, peguam mewakili ibu Zara Qairina, Syarulnizam Salleh, berkata saksi memaklumkan insiden berkenaan berlaku pada 12.30 tengah malam (16 Julai), selepas dia ke tandas bersama seorang rakan di aras tiga asrama berkenaan.
“Semasa menunggu, saksi menghadap cermin dan dia ternampak dari cermin kepala dan muka Zara di atas dinding tandas nombor satu. Saksi berkata keadaan Zara seolah-olah sedang memerhati siapa yang ada dalam tandas.
“Lampu tandas ketika itu berpasang dan saksi dapat cam Zara. Muka Zara pada ketika itu kelihatan ‘pucat-pucat sikit’,” kata Syarulnizam kepada pemberita selepas prosiding.
Beliau berkata saksi turut memaklumkan bahawa mereka menunggu kira-kira lima minit namun Zara Qairina tidak keluar daripada tandas, sebelum beredar untuk mengejutkan ketua dorm dan rakan-rakan bilik mangsa.
“Namun, tidak ada ahli dorm yang mahu bangun… ketua dorm cuma berkata ‘Kenapa dia berkurung juga tu? Biar la dia tu’. Ahli dorm lain pula cuma kelihatan mamai dan cuma sambung tidur balik saja,” tambah Syarulnizam.
Beliau berkata saksi juga mengesahkan wujud budaya teguran keras dan sindiran oleh pelajar ‘senior’ terhadap pelajar ‘junior’ di asrama, termasuk dengan cara menegur kuat tanpa menyebut nama pelajar yang boleh menyebabkan rasa malu kepada pelajar ‘junior’.
Sementara itu, Joan Goh yang mewakili seorang kanak-kanak dalam kes buli Zara Qairina berkata saksi kanak-kanak ke-21, yang juga pelajar di sekolah itu, beritahu mahkamah bahawa mangsa seorang yang suka memendam perasaan dan menulis dalam diari.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.
Prosiding akan bersambung pada Isnin 27 Okt.