Rempuh treler berundur, sarjan polis maut dalam perjalanan ke tempat kerja

Rempuh treler berundur, sarjan polis maut dalam perjalanan ke tempat kerja

Kereta dipandu Ishak Abdul Kadir, yang bertugas di IPD Batu Pahat, gagal mengelak lalu merempuh treler yang dalam keadaan melintang.

Seorang sarjan polis maut dalam kemalangan di Jalan Parit Kangkong, Parit Jawa, pagi tadi selepas keretanya merempuh sebuah treler yang terletak melintang di atas jalan raya. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang sarjan polis maut dalam perjalanan ke tempat kerja selepas kereta dipandunya merempuh treler yang sedang berundur di Parit Jawa pagi tadi.

Ishak Abdul Kadir, 55, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Batu Pahat, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Muar Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan pada 6.30 pagi berhubung kejadian melibatkan treler dan kereta di Jalan Parit Kangkong.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebuah treler dipandu lelaki berusia 23 tahun sedang berundur dalam keadaan melintang di atas jalan raya.

“Pada masa sama, kereta dipandu mangsa dari arah pekan Parit Jawa menghala ke Batu Pahat gagal mengelak lalu merempuh treler terbabit,” katanya, lapor Berita Harian.

Raiz Mukhliz berkata, menerusi ujian nafas dan darah, pemandu treler didapati bebas pengaruh alkohol serta bahan terlarang.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta saksi kejadian menghubungi pegawai penyiasat Siti Ayu Mohamad Japri di talian 010-7724650 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.