Penyelesaian konflik Thailand-Kemboja dijangka meterai 2 hari lagi

Penyelesaian konflik Thailand-Kemboja dijangka meterai 2 hari lagi

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pemeteraian itu dijangka disaksikannya bersama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Anwar Ibrahim berkata beberapa siri pertemuan diadakan di Kuala Lumpur melibatkan ketua-ketua pasukan bersenjata, menteri luar serta menteri pertahanan Kemboja dan Thailand bagi mencapai kata sepakat.
PETALING JAYA:
Pemeteraian penyelesaian konflik Kemboja-Thailand mengenai pertikaian sempadan antara dua negara itu dijangka ditandatangani dalam tempoh dua hari lagi.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata pemeteraian itu dijangka disaksikannya bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 hujung minggu ini.

Katanya, ia akan dilakukan selepas beberapa siri pertemuan diadakan di Kuala Lumpur melibatkan ketua-ketua pasukan bersenjata, menteri luar serta menteri pertahanan kedua-dua negara bagi mencapai kata sepakat berhubung rundingan damai.

“Sekiranya disepakati dalam satu dua hari ini…tandatangan ini akan disaksikan oleh saya dan Trump yang juga mendukung penyelesaian ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Anwar menjawab soalan Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai pencapaian utama kepengerusian Asean-Malaysia dan sejauh mana persiapan akhir diambil oleh kerajaan dapat menjamin kelancaran keseluruhan program di saat negara bakal menjadi tumpuan dunia.

Pada 3 Ogos lalu Anwar berkata, Thailand dan Kemboja memilih Malaysia sebagai lokasi rundingan damai kerana keyakinan terhadap kestabilan politik serta kemajuan ekonomi negara.

Beliau berkata, sebagai negara sahabat Malaysia berbangga dapat membantu menyelesaikan konflik antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu sekali gus memastikan rantau ini terus aman dan stabil.

Pada 28 Julai, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat berkuat kuasa serta-merta, susulan mesyuarat khas diadakan di Putrajaya yang dipengerusikan Anwar.

Dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, turut mencapai persetujuan mengadakan mesyuarat jawatankuasa am sempadan sebagai sebahagian perjanjian gencatan senjata.

Anwar berkata, kejayaan itu menjadikan Malaysia dikenali di persada dunia sehingga menarik perhatian pemimpin global termasuk Trump yang menghubunginya bagi mengucapkan penghargaan atas usaha Kuala Lumpur menyelesaikan konflik tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.