
Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Ghani, berkata sistem yang sedang dimuktamadkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu menjadi sebahagian pematuhan kepada pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
“Jadi syarikat-syarikat besar ini boleh beli buah-buah yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat kecil, boleh masuk dalam sistem jejakan mereka untuk dieksport ke negara Eropah kerana dia telah mempunyai geomap.
“Mana-mana syarikat kecil yang tidak ada geomap ataupun yang membuka kawasan-kawasan yang menyebabkan deforestation (penebangan), maka buah-buah mereka ini tidak dapat masuk dalam sistem ini,” katanya di Dewan Rakyat.
Johari menjawab soalan dibangkitkan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai perkembangan dan pencapaian kementerian untuk mengeluarkan Malaysia daripada status ‘risiko standard’ bawah EUDR.
Johari turut mengingatkan kerajaan negeri tidak meneruskan aktiviti penyahhutanan tanpa kawalan kerana buah sawit dari kawasan yang dibuka selepas 2020 tidak akan diterima bawah peraturan EU.
“Kalau kita teruskan juga, kalau mana-mana buah yang dikeluarkan oleh kawasan-kawasan yang deforestation (penyahhutanan) selepas 2020, maka tidak ada kilang akan proses buah tersebut,” katanya.