Isu menantu Muhyiddin hidup mewah cetus kecoh di Dewan Rakyat

Isu menantu Muhyiddin hidup mewah cetus kecoh di Dewan Rakyat

Wakil rakyat Kota Melaka celah ucapan Muhyiddin Yassin dan kaitkan laporan mengenai kehidupan mewah menantunya di luar negara.

Media melaporkan ahli perniagaan dalam buruan Muhammad Adlan Berhan yang melarikan diri lebih dua tahun lalu kini dipercayai menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sidang Dewan Rakyat tegang seketika apabila isu menantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang didakwa menjalani gaya hidup mewah di Asia Barat dibangkitkan Ahli Parlimen kerajaan.

Ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mencelah ucapan Muhyiddin dengan menyentuh isu kemiskinan rakyat, sebelum mengaitkannya dengan laporan mengenai kehidupan mewah ahli keluarga pengerusi PN itu di luar negara.

“Ada yang hidup mewah, lari ke luar negara, main golf dekat Asia Barat, main golf dekat sana. Didakwa rasuah, anak menantu Pagoh,” kata Khoo.

Kenyataan itu mencetuskan reaksi beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang mempertikaikan tindakan Khoo.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau, kemudian mengarahkan Khoo duduk kerana tidak diberikan laluan oleh Muhyiddin.

“Yang Berhormat Kota Melaka, sila duduk. Amaran pertama,” katanya sebelum membenarkan Muhyiddin meneruskan perbahasan.

Terdahulu, media melaporkan ahli perniagaan dalam buruan, Muhammad Adlan Berhan yang melarikan diri lebih dua tahun lalu, kini dipercayai menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.

Adlan dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah.

Beberapa gambar yang dikongsi kepada New Straits Times menunjukkan Adlan bersama kenamaan dari Asia Barat.

Sumber turut memaklumkan akhbar itu, Adlan kerap keluar masuk negara tersebut untuk perjalanan ke luar negara, termasuk ke Thailand bagi bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.

Sementara itu, Muhyiddin menerusi perbahasannya menggesa kerajaan menyemak semula dasar subsidi bahan api yang disifatkan sebagai regresif dan tidak adil kepada golongan berpendapatan rendah.

Katanya, subsidi petrol ketika ini menguntungkan golongan kaya, sedangkan rakyat miskin hanya menerima sebahagian kecil daripada peruntukan tersebut.

“Subsidi petrol masih bersifat regresif. Daripada setiap RM100 subsidi bahan api, golongan B20 hanya menerima RM4, manakala T20 menerima RM42.

“Ketidakseimbangan ini memperluas jurang antara kaya dan miskin. Lebih menyedihkan, satu daripada lima isi rumah miskin tidak memiliki kenderaan. Mereka langsung tidak menikmati subsidi petrol,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.